RNAA: Tiada Pekerja KTMB Akan Hilang Kerja


KUALA LUMPUR – Tiada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan hilang pekerjaan disebabkan Railway Network Access Agreement (RNAA) antara KTMB dengan Railway Assets Corporation (RAC).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, kesemua pekerja KTMB yang terlibat dengan perjanjian RNAA sebaliknya akan diserap masuk ke dalam anak syarikat milik KTMB.

“Malah saya jamin gaji, faedah dan apa-apa kelebihan yang dinikmati sebagai pekerja KTMB ketika ini tidak akan hilang mahupun berkurangan.

“RAC adalah badan berkanun persekutuan manakala KTMB adalah syarikat milik penuh kerajaan. Oleh itu tidak timbul persoalan bahawa RNAA akan menyebabkan KTMB diambil alih oleh pihak swasta,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Pihak dalaman KTMB berkepentingan pembangkang sejak tahun lalu menyebarkan dakyah kononnya KTMB akan membuang ramai pekerja dan kadar tambang akan meningkat sekali gus menyusahkan rakyat disebabkan RNAA.

Perjanjian RNAA adalah selari dengan klausa 89 Akta Keretapi 1991 untuk mengasingkan antara pengendali perkhidmatan kereta api, KTMB dengan pemilikan, pengurusan serta penyelenggaraan aset kereta api yang akan diuruskan oleh RAC.

Ab. Aziz seterusnya menyangkal tuduhan RNAA konon akan mengakibatkan harga tiket dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh pihak KTMB meningkat.

“RNAA tidak akan menyebabkan harga tiket dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh KTMB meningkat. Tambahan pula, tuduhan yang mengatakan perjanjian ini bakal menyebabkan KTMB terdedah kepada ketirisan dan kronisme adalah tidak betul.

“Sebaliknya, perjanjian ini berupaya untuk mengurangkan ketirisan dan kronisme kerana ia menjadikan pengurusan setiap syarikat ini lebih fokus kepada bidang tugas masing-masing,” jelasnya. –Kedahnews.com