ALOR SETAR - Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang dikatakan mencadangkan Stadium Darul Aman diruntuhkan hanyalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk membangunkan kawasan stadium itu.
Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri, Datuk Aminuddin Omar berkata, beliau yakin bahawa Stadium Darul Aman tidak akan dirobohkan dalam tempoh masa terdekat kerana draf tersebut hanya merujuk kepada rancangan jangka panjang MBAS sahaja.
Tegasnya, perancangan tersebut perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan Kerajaan Negeri dan beliau difahamkan belum ada sebarang kata putus mengenai perancangan yang dicadangkan MBAS itu.
"Apa sahaja keputusan sama ada dirobohkan atau tidak, projek berkenaan perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu.
“Saya tidak kata ia akan dirobohkan, cuma sebagai rancangan masa hadapan mungkin ia akan dirobohkan apabila tiba masanya nanti, mungkin 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun akan datang,” katanya Aminuddin kepada media, baru-baru ini.
Baru-baru ini, hangat diperkatakan di kalangan rakyat Kedah apabila beberapa pemimpin politik pembangkang mendakwa kononnya kerajaan negeri berhasrat untuk merobohkan stadium berkenaan dan menggantikannya dengan stadium baru di sekitar Stargate.
Kononnya keputusan menggantikan stadium baru tersebut adalah bergantung kepada kos menaik taraf stadium sedia ada, di mana ia lebih menjimatkan.
Selain itu, Aminuddin yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memberitahu bahawa cadangan meruntuhkan stadium berkenaan timbul daripada MBAS yang mendapati tempat itu terlampau sesak terutama ketika perlawanan bola sepak berlangsung.
Katanya, keadaan tersebut turut memberi kesan kepada aliran lalu lintas di sekitar kawasan stadium berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk di situ.
"Selain itu, ia turut memberi kesan kepada aliran lalu lintas di jalan utama sekitar stadium dan juga menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk apabila terdapat penyokong memarkir kereta sesuka hati di hadapan rumah," katanya lagi.
Melucukan, Aminuddin dalam kenyataannya turut tidak sejelas pemimpin politik pembangkang yang membangkitkan keresahan rakyat dengan isu tersebut sama ada benar akan dibina stadium baru atau tidak, termasuk tidak tahu tentang lokasi yang dicadangkan.
Kata Aminuddin, beliau sendiri belum dijelaskan secara terperinci oleh MBAS melainkan hanya menerima draf perancangan yang kurang lengkap sahaja berbanding pemimpin pembangkang yang seolah-olah lebih tahu tentang urusan rasmi kerajaan berbanding Exco Kerajaan Negeri itu.
"Saya juga tidak pasti sekiranya stadium itu akan dirobohkan dan diganti, adakah lokasi stadium baru nanti akan dibina di Stargate atau di lokasi lain.
"Ini kerana saya juga belum mendapat taklimat sepenuhnya daripada pihak MBAS , dan hanya mendapat maklumat berdasarkan draf perancangan yang mereka keluarkan sahaja," katanya. -Kedahnews.com