Ahmad dan isteri duduk di tangga rumah mereka mengharapkan rumah dijanjikan dapat dibina. |
YAN - Sudah 10 tahun, pasangan warga emas dari Kampung Kuala Dulang Besar, di sini, menumpang di tanah milik orang lain malah rumah yang didirikan kini kian reput dimakan anai-anai.
Ahmad Mat Isa, 70, berkata, tapak rumahnya itu adalah kepunyaan tuan sawah yang diusahakan olehnya dan isteri, Bunga Mat Isa, 61.
Menurutnya, rumah yang mereka duduki kini dibina sendiri dengan membeli kayu milik orang kampung.
“Dah 10 tahun lalu kami berteduh di sini dan alhamdulillah tuan tanah amat memahami keadaan kami.
“Tambahan pula, sawah di hadapan rumah ini kami usahakan dengan baik dan mungkin atas sebab itu kami mendapat kepercayaan penuh dari tuan tanah untuk tinggal di rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.
Dalam pada itu, Ahmad masih mengharapkan rumah yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dibina bagi membolehkan dia dan isteri berteduh.
"Dulu Datuk Seri ada janji nak bagi rumah tapi sampai sekarang tak tahu la apa status rumah itu.
“Saya agak runsing memikirkan rumah sekarang yang hampir roboh dimakan anai-anai dan sangat berharap dapat memiliki rumah yang dijanjikan,” katanya.
Pasangan ini mempunyai lapan anak dan semua anak mereka sudah mempunyai keluarga masing-masing.
Katanya, dia sendiri sudah tidak bekerja sejak dua bulan lalu kerana sakit lutut akibat kemalangan dan semuanya bergantung pada isterinya untuk membeli keperluan harian.
“Syukur alhamdulillah, Zakat Kedah ada memberikan sumbangan RM450 sebulan dan ia banyak membantu saya dan isteri meneruskan hidup,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian