KUALA LUMPUR - Rundingan Kuala Lumpur-Pyongyang bagi membolehkan sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di republik itu sejak minggu lalu dibawa pulang, berjalan dengan baik.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, oleh kerana ia membabitkan isu yang sensitif, maka pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membahayakan rundingan terbabit.
Beliau berkata, hanya Perdana Menteri dan timbalannya yang boleh mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
"Apa yang penting sekarang ini adalah keselamatan sembilan rakyat kita yang berada di sana.
"Buat masa ini, semuanya (persediaan rundingan) berjalan dengan baik. Saya tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan," katanya.
Mohamed Apandi berkata demikian ketika ditemui pada Kolokium Kehakiman Mengenai Perkongsian Amalan Baik Berkenaan Undang-Undang Antarabangsa Hak Asasi Manusia di sini.
Beliau ditanya mengenai perkembangan rundingan yang difahamkan berkisar pertukaran mayat abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dengan sembilan rakyat Malaysia yang masih di Pyongyang.
Pada 5 Mac lalu, Korea Utara bertindak balas terhadap keputusan Malaysia mengusir dutanya di Kuala Lumpur dengan mengisytiharkan Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad sebagai Persona Non Grata.
Dua hari kemudian, Korea Utara mengeluarkan arahan tidak membenarkan rakyat Malaysia di negara itu keluar, diikuti Kuala Lumpur mengeluarkan arahan sama terhadap warga Korea Utara di negara ini.
Sumber: BH Online