RUU 355: Ahli Parlimen Alor Setar Dicabar Balas Jasa Penyokong PAS


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung dicabar supaya menyatakan pendirian terhadap usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, Gooi sebelum ini menang bertanding kerusi Parlimen Alor Setar atas jasa baik jentera dan undi dari para penyokong PAS.

Jadi, beliau yakin bahawa seluruh pengundi Gooi juga mahu tahu tentang pendiriannya berkenaan RUU 355 yang bakal dibahas di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Dia perlu ingat bahawa kemenangan dia di Parlimen Alor Setar sebelum ini banyak dibantu oleh jentera dan undi dari penyokong PAS.

"Sekarang, Presiden PAS bawa usul RUU 355 dan bakal dibahas di Parlimen. Jadi, saya cabar Gooi supaya terbuka dan telus dengan menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau tidak RUU 355," tegas Syed Hafiz, mencabar pendirian Ahli Parlimen PKR itu.

Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung
RUU 355 pada minggu lalu dilaporkan tersenarai sebagai salah satu agenda aturan mesyuarat Dewan Rakyat dan bakal dibahaskan tidak lama lagi bagi menentukan sama ada ia diluluskan atau sebaliknya oleh anggota-anggota parlimen yang bersidang.

PKR sebelum ini masih "membisu" dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendirian parti itu mengenai RUU 355 yang dibentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang Dewan Rakyat yang lalu.

Mengulas lanjut, Syed Hafiz menegaskan bahawa sekiranya Gooi benar-benar menghargai jasa dan menyuarakan isi hati rakyat yang diwakili, maka dia perlu memberi sokongan terhadap usul pindaan tersebut.

Namun begitu, beliau mengingatkan Ahli Parlimen PKR itu bahawa rakyat Alor Setar khususnya pengundi muslim tidak akan teragak-agak untuk "membalas" sekiranya dia bertindak tidak menyokong atau tidak memberi undi kepada usul berkenaan.

"Saya akui dia akan berada dalam dilema. Namun sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, dia sudah tentu tahu tugas hakikinya adalah menyuarakan kehendak rakyat yang mahu RUU 355 itu diluluskan Parlimen.

"Jadi tidak perlu berdolak dalih, tunjukkan sokongan dan beri undi pada usul tersebut. Jika tidak, saya yakin dia akan terima padah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti," kata Syed Hafiz kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.

RUU 355 sebelum ini dibantah hebat oleh ramai pemimpin pembangkang, khususnya DAP yang mengetuai Pakatan Harapan dan mendakwa usul dari Presiden PAS itu kononnya bertentangan dengan perlembagaan negara.

Sementara itu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya juga dilaporkan memandang sinis pada RUU berkenaan dan mendakwa ia hanyalah salah satu dari permainan politik PAS untuk meraih sokongan undi dari umat Islam di negara ini.

Manakala sahabat baik Mahathir, Lim Kit Siang sebelum ini menggesa semua menteri kabinet yang bukan beragama Islam supaya meletak jawatan masing-masing sekiranya RUU 355 diluluskan Parlimen.

Dijangka sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung di ibu negara akan "panas" berbahas tentang RUU 355 yang tersenarai di dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat dan bakal dibahas tidak lama lagi. - Kedahnews.com