PERANCANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim tidak menolak kemungkinan akan kembali menyarung jersi kebangsaan bagi membimbing skuad negara, lapor SHAFIQ TINO.
Menurut pemain berusia 29 tahun itu, keputusan untuk kembali tetap diserahkan sepenuhnya kepada pengendali Harimau Malaysia sekiranya khidmatnya masih diperlukan.
“Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang akan terjadi pada masa akan datang, tetapi insya-ALLAH jika diberi peluang dan kepercayaan untuk kembali bermain bersama skuad negara saya akan buat yang terbaiklah.
“Saya juga mohon doa-doa yang terbaik serta tidak menafikan yang saya masih dahagakan lagi atau mahu bantu skuad negara pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika mahu kembali bersama skuad negara sekiranya tampuk pemerintahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disahkan milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Safiq berkata, fokus utamanya sekarang hanyalah mahu membantu Harimau Selatan mempertahan gelaran kejuaraan.
“Kami perlu bekerja lebih keras mempertahankan segala yang telah kami bina sejak beberapa tahun ini,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Amirulhadi Zainal berkata, beliau bersedia kembali menggalas tugas skuad negara.
“Selagi saya bergelar pemain, memang saya sentiasa bersedia tetapi semuanya saya serahkan kepada siapa pengendali skuad negara selepas ini.
“Dan kalau saya dipanggil pun untuk bermain semula kita tunggu dululah apa pembaharuan yang akan datang itu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian