"Saya Baik Dengan Semua Pihak," - Duta Besar China ke Malaysia


ALOR SETAR - Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, menafikan dakwaan kononnya hanya akrab dengan parti politik Barisan Nasional (BN) khususnya MCA.

Sebaliknya, Huikang berkata, sebagai rakan Malaysia, beliau mempunyai hubungan baik dengan semua pihak termasuk ahli politik dalam kalangan parti pembangkang.

Beliau berkata, ia terbukti menerusi lawatannya ke negeri ditadbir pembangkang termasuk Pulau Pinang bagi tujuan rasmi.

"Saya menghadiri majlis pelancaran Jambatan Kedua Pulau Pinang dan menemui Ketua Menteri, Lim Guan Eng," katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius, dalam sebuah portal berita yang mendakwa Huikang dilihat semakin membabitkan diri dalam politik tempatan di sebalik hubungan rapat Malaysia-China, sekali gus dikhuatiri memberi kesan terhadap kedaulatan negara.

Huikang dalam rangka lawatan dua hari ke Kedah bermula semalam.

Pagi tadi, beliau meninjau projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah, di sini yang membabitkan pelaburan RM3 bilion dari syarikat berpangkalan di Qingdao, Lu Haifeng Development Sdn Bhd.

Sumber: BH Online