Sebut Perkataan Aibkan Polis, Tian Chua Didenda RM3,000


PETALING JAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.

Hakim Yasmin Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pada 12 Ogos 2014, Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, mengaku tidak bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya DSP Glenn A. Sinappah bagi mengaibkan kehormatannya.

Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama lobi Hotel Armada pada 7.45 malam, 14 April 2014 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA