Seluruh Warga UMNO Kedah Diseru Muafakat Pertahan Perjuangan Parti


ALOR SETAR - Semua kepimpinan UMNO Negeri dan cawangan diseru supaya kembali berlapang dada bermuafakat dan lebih fokus mengatur gerak kerja parti bagi meneruskan khidmat bakti kepada seluruh rakyat di negeri Kedah.

Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, para pemimpin di peringkat cawangan dan akar umbi merupakan pemankin utama dalam merealisasikan konsistensi UMNO dalam memastikan nasib rakyat di negeri ini terus terbela.

"Semua cawangan-cawangan UMNO di dalam negeri Kedah inilah yang selama ini memberi kemenangan setiap pilihan raya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Kita tak boleh menoleh ke belakang, yang pentingnya adalah perjuangan parti, kita teruskan agenda kita untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

"Saya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan, saya berharap agar kita semua memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Perhubungan dan Menteri Besar Kedah untuk memimpin pilihan raya kali ini," kata beliau, di sini, semalam.

Mahdzir berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata aluan di Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan di seluruh negeri Kedah yang berlangsung di Pusat Kegiatan KEMAS, Alor Biak, di sini.

Untuk rekod, Ahmad Bashah merupakan pemimpin yang bertanggungjawab merampas Kedah kembali ke pangkuan BN pada PRU ke-13 yang lalu dan dibantu oleh Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Meskipun berjaya menangkan BN di Kedah, Ahmad Bashah sanggup melepaskan peluang untuk dilantik menjadi Menteri Besar, sebaliknya memberi laluan kepada Mukhriz meskipun Timbalannya itu hanya pulang membantu kempen parti kira-kira 4 bulan sebelum pilihan raya.

Mengimbas kembali kenangan selama sepenggal tidak dipilih menjadi kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Mahdzir menjelaskan kesusahan yang dihadapi rakyat Kedah apabila terpaksa bergantung kepada bantuan dari Kerajaan Pusat semata-mata.

Jelas beliau, peruntukan dari pusat disalurkan menerusi JKKP dan wakil-wakil rakyat BN sangat terhad dan mengakibatkan banyak masalah di bawah tidak dapat diselesaikan dengan baik, menjejaskan khidmat terbaik yang sewajarnya diperoleh rakyat Kedah.

Untuk rekod, masalah banjir besar yang dialami Kedah pada sekitar 2008 dan 2009 sebelum ini mendapat keprihatinan Kerajaan Pusat yang berlapang dada menghulurkan bantuan segera selepas menerima lampu hijau dari mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

Selain itu, Mahdzir turut meluahkan rasa kesal beliau terhadap bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bapanya yang merupakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berubah hati sanggup bersekongkol dengan parti pembangkang seperti DAP dan PAN untuk memusnahkan UMNO.

Kata beliau, kedua pemimpin berkenaan sebelum ini dijulang tinggi akar umbi UMNO dan dipertahankan dari segenap sudut ketika teruk diserang pembangkang, namun kini sanggup berpaling tadah hanya kerana semata-mata atas kepentingan politik peribadi.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh pemimpin negeri, ketua-ketua Bahagian, kepimpinan sayap-sayap, jentera dan semua akar umbi UMNO di negeri ini supaya bermuafakat bagi memastikan detik-detik hitam berkenaan tidak berulang lagi. - Kedahnews.com