Senarai Calon BN Kedah Disahkan Palsu, Usaha Terdesak Pihak Tertentu - Pejabat MB


ALOR SETAR - Pejabat Menteri Besar Kedah menafikan ada mengeluarkan sebarang senarai calon membabitkan Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan pihak tertentu yang menyebarkan senarai calon palsu itu tidak lebih dari usaha tidak matang untuk sengaja mencari publisiti selain mencetus kekalutan politik di negeri ini.

"Pejabat Menteri Besar menafikan bahawa kita pernah mengeluarkan apa juga senarai calon untuk PRU yang akan datang.

"Bagi saya ianya adalah tindakan yg tidak matang pihak-pihak tertentu yang sekadar mahu mencipta 'sensasi' dan mewujudkan 'kekalutan' di dalam suasana politik negeri," katanya dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy juga tidak menolak dakwaan tentang kemungkinan senarai calon palsu itu melibatkan parti pembangkang yang terdesak untuk menimbulkan perasaan syak dan curiga di kalangan jentera UMNO, ahli dan penyokong parti berkenaan.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa penyebaran maklumat berbaur fitnah itu tidak akan sama sekali berjaya merosakkan perpaduan dan tumpuan seluruh pejuang UMNO di negeri ini untuk menhadapi PRU ke-14.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa penyebaran senarai ini ada penglibatan parti pembangkang yang mahu menimbulkan syak dan curiga dikalangan jentera parti.

"Namun saya amat yakin penyebaran senarai ini tidak akan sama sekali menggoyah perpaduan dan fokus parti bagi menghadapi pilihanraya yg akan datang," ujar beliau lagi.

Justeru itu, beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri itu turut meminta agar seluruh jentera dan warga parti itu di seluruh negeri supaya tidak mempedulik dakyah propaganda busuk tersebut.

Jelas beliau, UMNO merupakan sebuah parti yang berpengalaman dalam proses penentuan calon pilihan raya dan maklumat sulit seperti itu adalah sangat mustahil untuk menggunakan medium media sosial sebagai pengantara maklumat.

"Pemuda UMNO Kedah juga yakin modus operandi pihak-pihak tertentu juga adalah utk mengugat 'kepercayaan'  dan 'keyakinan' parti-parti komponen yg lain.

"Namun hakikatnya Pemuda UMNO Kedah yakin dan percaya hubungan di antara parti-parti komponen di negeri Kedah kekal utuh di bawah pentadbiran  dan kepimpinan Dato' Seri Ahmad Bashah," kata Shaiful Hazizy.

Difahamkan bahawa "senarai calon BN Kedah" bagi PRU ke-14 telah tersebar menerusi applikasi Whatsapp sejak semalam, sekaligus mencetus gelak tawa di kalangan para penyokong UMNO yang awal-awal lagi dapat menghidu senarai yang dianggap tidak masuk akal itu.

Sumber kami menjelaskan bahawa proses pemilihan calon BN di negeri ini dibuat melalui proses yang ketat dan teliti, selain mengambil masa yang agak lama untuk menilai serta mengkaji pelbagai faktor sebelum terpilih.

Selain itu, senarai akhir calon yang terpilih pula dikatakan adalah menjadi rahsia "eksklusif" yang terhad kepada pucuk pimpinan parti di peringkat negeri sebelum diajukan kepada Pengerusi BN di peringkat pusat untuk diputuskan kemudiaannya. -Kedahnews.com