SIA Didenda RM354 Juta Kerana Berpakat Tentukan Harga Tiket


BRUSSELS – Tidak sampai sebulan didenda Penguasa Penerbangan Awam Britain (CAA) kerana banyak kes lewat terbang, Singapore Airlines (SIA) dihukum denda lagi dan kali ini lebih teruk.

Syarikat penerbangan kebangsaan milik pemerintah Singapura yang dianggap antara terbaik di dunia itu, semalam didenda 74.8 juta euro (RM354.5 juta) oleh Kesatuan Eropah (EU) kerana berpakat dalam penentuan harga tiket.

Lebih dahsyat, SIA dan 10 lagi syarikat penerbangan dikenakan denda gabungan sebanyak 776 juta euro (RM3.7 bilion) oleh pengawal persaingan EU kerana terlibat sama dalam kartel kargo udara lebih sedekad yang lalu.

Suruhanjaya Eropah mengenakan semula denda-denda itu setelah mahkamah kedua tertinggi Eropah membatalkan pada tahun 2015 lalu terhadap keputusan eksekutif EU yang dibuat pada 2010 disebabkan kesalahan prosedur.


Jumlah denda tidak diubah bagi semua syarikat penerbangan kecuali jumlah yang perlu dibayar oleh Martinair dari Belanda apabila dikurangkan kepada 15.4 juta euro daripada 29.5 juta euro yang pernah dikenakan pada 2010.

Air France dari Perancis pula didenda sebanyak 182.9 juta euro – jumlah paling tinggi – disusuli oleh KLM dari Belanda (127.1 juta euro), British Airways (104.4 juta euro) dan Cargolux dari Luxembourg (79.9 juta euro).

Syarikat lain ialah Air Canada (Kanada), Cathay Pacific Airways (Hong Kong, China), Japan Airlines (Jepun), LAN (Chile) dan SAS (Skandinavia). Namun SAS dilaporkan mahu memohon rayuan terhadap keputusan terkini itu.

Lufthansa (Jerman) serta anak syarikatnya Swiss International Airlines bagaimanapun, dilepaskan daripada dikenakan denda kerana kedua-duanya memaklumkan kepada penguasa persaingan EU tentang kartel haram itu.

Menurut Pesuruhjaya Persaingan Eropah, Margrethe Vestager dalam satu kenyataan media di sini semalam, pihak suruhanjaya tersebut sudah menetapkan kesalahan prosedur yang turut dipetik oleh mahkamah benua itu.

“Bekerjasama dengan rangkaian kartel adalah tidak diterima oleh suruhanjaya berbanding sedia bersaing secara sihat dan adil untuk menawarkan khidmat-khidmat yang lebih baik kepada para penumpang,” jelas beliau lagi.

Menerusi siasatan dilakukan suruhanjaya pada 2010, kartel rahsia itu menetapkan khidmat pengangkutan udara bagi muatan, minyak dan bayaran tambahan keselamatan antara bulan Disember 1999 dengan Februari 2006.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan beberapa tuntutan ganti rugi terhadap syarikat penerbangan itu dari firma Jerman antaranya Deutsche Bahn, pembuat kereta BMW dan pembekal kereta Bosch. – Agensi