Sikap Tak Patriotik, Hampir Terlepas Pelaburan RM31 Bilion Aramco


PUTRAJAYA – Malaysia hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco kerana sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang menyalurkan maklumat tidak betul mengenai negara kepada syarikat minyak Arab Saudi itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Saudi Aramco pada mulanya keberatan untuk melabur di Malaysia setelah diberi maklumat kononnya Malaysia diletakkan dalam kategori berisiko politik.

Katanya, Saudi Aramco diberikan maklumat kononnya Malaysia tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bangkrap dan kerajaan tidak berkemampuan untuk membayar gaji penjawat awam.

“Ini kerana ada orang yang tiada hati perut, motif mereka adalah politik tetapi yang jadi mangsa adalah rakyat Malaysia,” katanya ketika melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata hanya apabila diberikan maklumat sahih bahawa Malaysia adalah negara yang berjaya dan mendapat penarafan A, kepercayaan Saudi Aramco terhadap Malaysia dikembalikan dan Malaysia mendapat pelaburan RM31 bilion. – BERNAMA