SIP Hanya Untuk Mereka Yang Diberhantikan Kerja - MEF


KUALA LUMPUR – Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bertujuan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan.

Katanya sistem itu tidak terpakai kepada mereka yang berhenti kerja secara sukarela.

“Banyak yang keliru dan mengatakan SIP akan bayar faedah pemberhentian kerja. Sebenarnya SIP tidak ada kaitan dengan faedah pemberhentian kerja.

“SIP hanya akan membayar bantuan kepada pekerja yang diberhentikan bukan secara sukarela untuk selama 6 bulan dengan bayaran purata setengah bulan gaji,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berhubung persetujuan kerajaan melaksanakan SIP yang melibatkan kira-kira 6.5 juta pekerja tempatan dalam sektor swasta.

Perdana Menteri dilapor berkata undang-undang mengenai SIP sedang digubal dan akan dibentangkan di Parlimen pada Jun ini manakala penguatkuasaannya dijangka pada 1 Jan tahun depan dengan bayaran faedah boleh dibuat bermula 1 Jan 2019.

Shamsuddin berkata MEF telah mencadangkan akaun ketiga diwujudkan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai satu skim simpanan untuk pekerja yang diberhentikan.

“Sebagai contoh, majikan dan pekerja masing-masing mencarum satu peratus daripada jumlah gaji setiap bulan selama lapan tahun yang mana jumlah akaun akan mencecah nilai sebulan gaji.

“Jika pekerja itu diberhentikan perkhidmatan secara bukan sukarela, mereka boleh mengeluarkan simpanan berkenaan. Jika tidak diberhentikan, maka ia boleh menjadi simpanan persaraan,” katanya.

Katanya pihak kerajaan hendaklah memperuntukkan satu dana khas bagi tujuan itu, menjadikan jumlah manfaat diperoleh berjumlah nilai tiga bulan gaji seperti yang dicadangkan di bawah SIP.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Abdul Halim Mansor berkata pelaksaan SIP dilihat mampu mengurangkan beban majikan ketika krisis pemberhentian kerja berlaku.

“Apabila berlaku ‘retrenchment’ atau penutupan operasi, syarikat berkemungkinan menghadapi kebuntuan tunai, jadi satu peruntukan undang-undang lain perlu dalam memenuhi tuntutan pekerja,” katanya.

Menerusi SIP juga kata beliau, mereka yang kehilangan pekerjaan akan diberikan latihan semula atau peningkatan kemahiran bagi meningkatkan kebolehankerjaan mereka. – BERNAMA