Skandal Forex BNM: Siasatan Dijangka Ambil Masa 3 Bulan


TIGA bulan jangka masa ditetapkan Pasukan Petugas Khas berhubung siasatan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an untuk melaporkan hasil penemuannya kepada Kabinet.

Demikian tegas pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, sambil menambah bahawa tempoh panjang berkenaan termasuk perakuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja jika dirasakan sebagai perlu.

Pasukan yang dianggotai enam ahli lain akan menjalankan tugas dengan terma rujukan menjalankan siasatan awal berkaitan kerugian BNM dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata wang asing.

Ini termasuk sejauh mana tindakan menyembunyikan maklumat kerugian dan mengkaji jika ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya kepada Mesyuarat Parlimen.

Mereka turut mengemukakan syor kepada kerajaan mengenai tindakan susulan. Antara anggota pasukan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki.

Anggota lainnya ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Juga Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (Diperbadankan), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut serta ialah Rakan Kongsi Guaman, Jahaberdeen & Co, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, selain Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail sebagai Setiausaha dan Ketua Sekretariat Pasukan.

“Dalam usaha mencapai matlamat ini, Pasukan Petugas Khas akan meneliti semua aspek kes, antara lain peranan dan fungsi BNM dan/atau mana-mana badan korporat atau individu dalam urus niaga spekulasi mata wang asing.

“Ini termasuk berkaitan kelulusan dan pengurusan aktiviti. Selain itu, pematuhan undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan dengan peranan serta fungsi BNM dalam urus niaga mata wang.

“Juga sama ada terdapat apa-apa tindakan untuk menutup skala kerugian sebenar dan individu yang terbabit,” kata Mohd. Sidek yang juga bekas Ketua Setiausaha Negera dalam satu kenyataan, di Putrajaya semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga amat menggalakkan sesiapa yang ada apa-apa maklumat untuk berkongsi dengan menghubungi mereka di Kementerian Kewangan, emel taskforcefx@treasury.gov.my dan telefon 03-8000 8000. - Kedahnews.com