SPM 2016: GPN Lebih Baik, 8,647 Calon Dapat Semua A


PUTRAJAYA – Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 mencatatkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik iaitu 5.10 berbanding 5.15 pada tahun 2015, umum Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

“Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2016 di sini hari ini.

Seramai 8,647 daripada 434,535 atau 2.13 peratus calon SPM 2016 memperoleh semua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 9,721 calon pada tahun 2015, katanya.

Seramai 102 calon atau 1.94 peratus calon memperoleh A+ pada tahun ini berbanding 163 calon atau 2.6 peratus pada tahun sebelumnya, katanya.

“Walaupun Gred A telah berkurangan, GPN semua mata pelajaran telah meningkat secara signifikan. Ini bermakna prestasi keseluruhan pelajar meningkat tetapi yang mendapat gred tinggi (semua A) berkurangan, kemungkinan tertumpu B+.

“Secara keseluruhan, prestasi pencapaian individu pelajar adalah lebih baik pada tahun ini,” katanya.

Seramai 434,535 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2016 berbanding 440,682 calon pada 2015, iaitu berkurangan 1.39 peratus atau 6,147 calon.

Khair berkata 340,698 atau 85.21 peratus calon layak dianugerahkan sijil SPM pada tahun 2016 iaitu 313,667 calon sekolah Kementerian Pendidikan manakala 27,031 adalah calon selain sekolah kementerian.

Beliau berkata sebanyak 41 daripada 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 28 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala prestasi empat mata pelajaran tidak berubah.

“Empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sains menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran teras yang lain seperti Matematik, Sejarah dan Pendidikan Moral mencatatkan penurunan,” katanya.

Prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.32 Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) manakala mata pelajaran Matematik menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.29 GPMP, katanya.

Nilai GPMP yang lebih kecil menunjukkan prestasi yang lebih baik.

Khair berkata jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar semakin mengecil yang mana nilai GPN mengecil sebanyak 0.03 iaitu 0.47 berbanding 0.50 tahun 2015.

Beliau berkata pencapaian GPN bagi calon luar bandar menunjukkan peningkatan 0.08 iaitu 5.36 pada tahun 2016 berbanding 5.44 pada tahun 2015.

Pencapaian calon di bandar pula meningkat sebanyak 0.05 iaitu 4.89 pada tahun 2016 berbanding 4.94 pada tahun 2015, katanya.

“Hal ini menunjukkan peningkatan pencapaian calon di luar bandar lebih tinggi berbanding calon di bandar,” katanya.

Bagi calon berkeperluan khas, Khair berkata 510 atau 58.42 peratus daripada 873 calon layak dianugerahkan SPM.

Bagi sijil GCE O-Level untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Khair berkata seramai 214,971 calon atau 52.83 peratus berjaya memperoleh sijil itu.

Seramai 40,725 calon atau 55.11 peratus daripada 73,891 calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan layak menerima sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account melalui kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan Pearson, United Kingdom, katanya. – BERNAMA