LUNDU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk melaksanakan tanggungjawab mengendalikan pilihan raya pada bila-bila masa, kata Pengerusinya Datuk Seri Hashim Abdullah.
Beliau berkata persiapan itu termasuk dari segi logistik dan persediaan petugas dalam memastikan sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang diadakan berjalan lancar.
"Jangan bimbang, sepanjang masa kita buat persiapan dari segi logistik dan semuanya.. semuanya kita sudah sedia, petugas-petugas kita pun, ini bukan kali pertama mereka bertugas mengendalikan pilihan raya.
"Insya-Allah kita akan laksanakan sebaik mungkin... kita adakan latihan sepanjang masa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu pada 18 Feb lepas, di Dewan Masyarakat Lundu di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas isu yang tular di media sosial baru-baru ini selepas sebuah jabatan kerajaan mengeluarkan pekeliling dalaman yang membekukan cuti persendirian dan cuti ke luar negara kakitangan, sehingga mencetuskan spekulasi kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
Hashim berkata bagi SPR apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubar, atau jika ada kekosongan kerusi di satu-satu kawasan pilihan raya, SPR akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan lancar.
Menjawab satu soalan mengenai bayangan kemungkinan pilihan raya negeri diadakan di Sabah tidak lama lagi, beliau berkata: "Tak boleh nak bayang apapun, tak nampak anak bulan lagi."
Sementara itu merujuk kepada kehadiran SPR di Lundu hari ini, Hashim berkata ia juga bertujuan untuk membuat post mortem mengenai perjalanan PKR Tanjong Datu di samping memberi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit termasuk pihak keselamatan dan juga media.
"Tidak ada kelemahan yang dikesan, dari segi keselamatan, pengurusan, pegawai pengurus pilihan raya, petugas kita... semuanya terkawal, semuanya berjalan dengan baik.
"Peratus keluar mengundi memang awalnya kita agak 75 peratus, untuk memberi galakan orang ramai mengundi, tapi yang dapat 68 peratus," katanya menurut Bernama.
Sumber: mStar