"Suami Awak Besar Ni Je, Saya Punya Lagi Besar"


SEORANG pekerja kedai runcit warga Pakistan dibelasah penduduk kampung selepas mengaju soalan berbaur lucah kepada isteri orang dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Mulong, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 32 tahun datang ke kedai tersebut untuk membeli barangan, sambil ditemani adik lelakinya yang menunggu di dalam kereta.

Namun ketika wanita itu ingin membuat pembayaran, suspek secara tiba-tiba menunjukan isyarat jari kelingking bagi membandingkan kemaluan suami mangsa dengan suspek, yang diulanginya sebanyak empat kali.


Mangsa kemudian terus menaiki kereta dan memberitahu adiknya yang berusia 20-an sebelum adiknya itu turun dan memberi amaran kepada suspek supaya tidak mengganggu kakaknya.

Bagaimanapun suspek menafikannya serta berlaku pergelutan.

Selepas kejadian, adik mangsa sekali lagi datang ke kedai sama dan memberitahu suspek supaya tidak mengulangi perbuatan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa serta orang kampung.


Kedatangan adik mangsa kali kedua itu menyebabkan suspek berang dan terus mengambil pisau dari bawa meja, namun sempat ditahan adik mangsa.

Orang awam yang melihat kejadian berlaku tersebut membantu adik mangsa dan membelasah suspek sebelum menangkapnya serta menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan suspek turut dihantar ke hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan kerana cedera dipukul orang ramai.

“Orang ramai yang melihat kejadian tersebut membantu adik mangsa dan telah memukul suspek hingga cedera,” katanya.

Tambah Baharom, lelaki berkenaan disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, dan Seksyen 509 kanun yang sama kerana cuba mengaibkan kehormatan seseorang. –Kedahnews.com