Sudah Bertukar 3 PM, Tapi Kit Siang Masih Kekal...


ALOR SETAR - Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa secara sinikal mengatakan bahawa sudah tiga kali Malaysia tukar Perdana Menteri, namun veteran DAP, Lim Kit Siang masih lagi kekal tidak bertukar kedudukannya sebagai pucuk pimpinan utama parti itu.

Jika hendak dibandingkan dengan kepimpinan kerajaan UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN) tersebut lebih membuka peluang dan memberi kepercayaan kepada golongan muda untuk menggalas jawatan dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Menurutnya, perkara tersebut terbukti apabila UMNO sentiasa membuka ruang kepada golongan muda khususnya sayap pemuda dan puteri UMNO lantas menafikan tuduhan konon parti itu mencataskan peluang anak muda.

“Lihat Ketua Puteri UMNO yang diberi jawatan dalam Kabinet antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Begitu juga Khairy Jamaluddin.

“Sebaliknya, walaupun UMNO sudah bertukar tiga Perdana Menteri tetapi Lim Kit Siang tetap dengan jawatannya,” katanya.

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa memberi pendedahan pada peringkat awal kepada golongan muda adalah sangat penting, ini bagi mengelakkan individu yang sama sahaja menggalas jawatan tertentu.

Sementara itu, Annuar turut menyatakan bahawa beliau sendiri pernah dilantik menjadi calon wakil rakyat pada usia 27 tahun dan memegang jawatan menteri seawal usia 33 tahun.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi pertemuan bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis semasa Siri Ketiga Jelajah Penerangan UMNO di negeri itu.

Pertemuan selama dua jam tersebut merupakan kali terakhir dalam siri jelajah berkenaan selama tiga hari sejak Jumaat lalu. -Kedahnews.com