Sumber Dana Politik DAP Gamatkan Dewan Rakyat


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok, teruk disorak anggota-anggota parlimen apabila Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad bertanyakan sama ada DAP ada menerima sumbangan dana politik dari Israel atau George Soros selama ini.

Ditekan bertalu-talu tentang persoalan tentang sumber dana politik DAP, Teresa tidak mengaku partinya menerima sumbangan dari negara Israel atau George Soros sekaligus menafikan dakwaan tersebut.

"Tak ada.. tak ada.. tak pernah pergi ke Israel pun, tidak dibenarkan pergi ke Israel. Mana ada derma dari sana," kata Teresa, sekaligus mengundang gamat Dewan Negara, semalam.

Sebelum itu, Teresa memohon celahan dari Abdul Rahman dan bertanyakan sama ada kedatangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud baru-baru ini turut memberi sumbangan dana politik kepada UMNO atau mana-mana pemimpinnya.

Tegas Abdul Rahman, beliau tidak dapat menjawab soalan tersebut kerana tidak tahu mengenainya.
Namun begitu tegas beliau, apa yang jelas bahawa lawatan empat hari Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini membawa banyak manfaat kepada negara ini khususnya membabitkan pelaburan yang bernilai tinggi mencecah berbilion dolar.

Bagi memuaskan hari Teresa, Abdul Rahman menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Raja Salman memberi sumbangan politik kepada mana-mana pemimpin UMNO di negara ini.

Menjelaskan sama ada Raja Salman atau keluarga DiRaja Arab Saudi memberi sumbangan dana politik kepada UMNO atau tidak, Abdul Rahman menegaskan tentang sifat bangsa Arab yang sememangnya terkenal dengan ketegasan dan teguh pendiriannya.

Jelas beliau, sekiranya mereka mahu memberi sumbangan, maka mereka akan tetap memberi sumbangan tersebut kepada sesiapa yang mereka inginkan, dan sebaliknya mereka tidak akan memberi apa-apa sekiranya mereka enggan memberikan sumbangan tersebut.

Justeru itu katanya, tidak timbul masalah sekiranya Raja Salman memberi sumbangan dana politik kepada mana-mana pemimpin UMNO yang baginda inginkan, sebagaimana tidak timbul masalah berhubung andaian yang mengatakan DAP menerima sumbangan politik dari Israel.


"Kita jangan persoal kalau Arab Saudi nak bagi. Kalau mereka bagi, kita terima, apa masalah? Kalau Israel nak bagi DAP pun tak ada masalah.. tak ada masalah, terima saja.. Apa yang jadi masalah?," ujar beliau, menyindir sinis Ahli Parlimen DAP itu.

DAP sebelum ini sering dikaitkan dengan desas-desus dakwaan yang mengatakan parti itu menerima sumbangan dana politik dari negara Yahudi Israel dan bilionaire berbangsa Yahudi, George Soros.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul yang memohon mencelah telah meminta Abdul Rahman untuk mengemukakan soalan kepada Teresa tentang sumber dana politik DAP selama ini.

Malah beliau turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pernah menyuarakan pandangan supaya semua sumber dana politik kepada parti-parti di negara ini diisyhtiharkan untuk pengetahuan semua pihak.

Abdul Rahman sempat mengusik Teresa yang dikatakan mempersoal dan tidak bersetuju dengan cadangannya untuk menutup pusat karaoke lebih awal pada jam 10 malam.

"Seputeh marah sangat pasal karaoke, bercerita kepada isteri saya.. apa ini Lipis suruh tutup cepat karaoke," usiknya, menggamatkan lagi keadaan dewan. - Kedahnews.com