Penduduk kampung melihat sungai yang dipenuhi semak samun. |
YAN - Keadaan sungai sepanjang tiga kilometer di Jalan Batu 22 menghala ke Yan, di sini, yang dipenuhi semak samun didakwa menjadi punca berlakunya banjir.
Penduduk, Azmi Ahmad, 55, berkata, situasi itu menyebabkan aliran air sungai tidak dapat mengalir dengan lancar.
"Bila hujan lebat, air melimpah ke jalan dan masuk ke rumah penduduk.
"Kami sudah membuat laporan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), namun difahamkan kawasan tersebut bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Tambahnya, setiap kali hujan penduduk kampung berdekatan turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan barang berharga di tempat tinggi.
“Keadaan bertambah buruk jika pada masa sama air laut pasang, ini menyebabkan air naik mendadak,” jelasnya.
Katanya, beberapa bulan lalu, kampung berkenaan mencipta sejarah apabila terpaksa membuka pusat pemindahan banjir ekoran masalah itu.
“Kira-kira 50 rumah terjejas ketika itu dan penduduk berkampung di pusat pemindahan,” katanya.
Tiada lagi kerja selenggara
Seorang lagi penduduk, Mohd Fadzli Ramli, 45, mendakwa, sebelum ini kawasan sungai yang bermula dari Teroi hingga ke Titi Serong itu diselenggarakan dengan baik oleh pihak berwajib.
“Namun sejak kebelakangan ini, tiada lagi kerja penyelenggaraan dijalankan.
"Kami tidak mampu membersihkan sungai ini meskipun dilakukan secara bergotong-royong kerana ia melibatkan jentera berat dan kos tinggi,” jelasnya.
Mohd Fadzli berkata, rumahnya juga pernah dimasuki air lebih daripada 10 kali dan keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga kecewa.
“Jika hujan lebat, kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Padi turut terjejas dan rosak jika ditenggelami air. Ini memberi kesan berganda kepada kami untuk menanggung kos kerugian,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Rashid Ariffin, 55, berkata, laporan berhubung masalah itu telah dibuat kepada pihak berwajib.
“Harapan kami, agar pihak terlibat mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah penduduk diselesaikan,” katanya.
Penyelenggaraan ikut keutamaan
Sementara, Pengarah JPS Kedah, Kamal Mustapha ketika dihubungi berkata, sungai asal yang tidak diubah adalah bawah seliaan JPS, manakala sungai yang telah diubah keadaannya sama ada dikorek atau sebagainya, adalah bawah seliaan Mada.
“Punca utama berlakunya banjir adalah sampah yang menghalang aliran air. Disebabkan itu, JPS giat menjalankan kempen kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan menjaga sungai.
"Amalan membuang sampah ke dalam sungai harus dielakkan agar sentiasa terpelihara,” katanya.
Tambahnya, sikap kurang prihatin komuniti yang gemar membuang sampah ke dalam sungai antara tabiat yang sukar ditangani.
“Sikap komuniti harus diubah terlebih dahulu, untuk bersama JPS menjaga kebersihan sungai selain kerja penyelenggaraan yang dijalankan.
"Kita menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut peruntukan di mana peruntukan itu diagihkan mengikut keutamaan,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian