Suruh PAS Keluar Politik Sertai Tabligh, Nasruddin "Maafkan" Zairil


ALOR SETAR - PAS memaafkan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari yang sebelum ini bertindak mengkritik parti Islam itu supaya menyertai Tabgligh ekoran matlamat PAS yang mencari redha Allah dalam perjuangannya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, DAP sememangnya jahil dalam menilai dan memahami perjuangan yang dibawa oleh PAS selama ini termasuk slogan terbaru PAS, politik matang dan sejahtera.

"Secara peribadi, saya maafkan mereka justeru mereka perlu lebih masa untuk memahami seni politik matang dan sejahtera.

"Tiada yang lebih besar dan hebat selain Allah S.W.T. Tiada siapa yang boleh menghalang dan menyekat perjuangan menegakkan agama Allah S.W.T," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin berpandangan bahawa Zairil sengaja membuat saranan itu kerana DAP sememangnya sedang berusaha menyingkirkan PAS daripada politik negara.

Zairil sebelum ini menyarankan PAS supaya menyertai Tabliqh kerana berpandangan Islam tidak boleh berada dalam politik negara ini kerana parti itu mencari keredhaan Allah SWT dan pembalasan akhirat.

Dakwa pemimpin DAP itu, sikap PAS menyebabkan parti tersebut tidak memiliki wawasan untuk mengubah dasar negara ini supaya lebih adil kepada semua.

“Jika PAS tidak lagi memiliki wawasan ini, maka apa gunanya menggelarkan diri sebagai parti politik?” kata Zairil dalam kenyataan itu. –Kedahnews.com