Suspek Kes Bunuh Jong-Nam Ke Penjara Kajang, Sebutan Kes 13 April Depan


SEPANG - Dua suspek wanita asing didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret Sepang pada Rabu atas tuduhan terlibat dalam kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam kira-kira dua minggu lalu.

Warga Vietnam, Duon Thi Huong, 29 dan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, 25, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

Kedua-dua wanita itu didakwa secara berasingan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Kertas pendakwaan menamakan mangsa yang dibunuh sebagai 'Kim Chol', nama yang sering digunakan Jong-nam mengembara.

Siti Aisyah terlebih dahulu dihadapkan untuk pertuduhan tersebut dan dakwaan dibacakan oleh penterjemah dalam bahasa Indonesia.

Wanita itu mengangguk sebagai tanda faham dan tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad meminta pihak mahkamah tempoh sebulan setengah untuk sebutan semula kes dan memindahkan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin, yang bertindak sebagai Majistret, menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Peguam yang mewakili Siti Aisyah, Gooi Soon Seng, memohon kebenaran pihak mahkamah untuk mengeluarkan arahan kepada polis dan saksi daripada mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media yang boleh menyalahkan atau membahayakan nyawa kliennya.

"Permohonan ini untuk memastikan hak Siti Aisyah mendapatkan perbicaraan yang adil tidak terjejas," katanya.

Selepas Siti Aisyah dibawa keluar dari bilik mahkamah, Thi Huong yang diwakili peguam S. Selvam dibawa masuk untuk menghadap pertuduhan.

Wanita Vietnam itu didakwa bersama empat lelaki yang masih diburu atas tuduhan yang sama.

Tuduhan tersebut dibaca dalam bahasa Vietnam dan Thi Huong memahami dakwaan itu serta tiada pengakuan direkodkan.

Muhammad Iskandar meminta perbicaraan Thi Huong diadakan bersama dengan Siti Aisyah di Mahkamah Tinggi Shah Alam mengikut tarikh yang ditetapkan pada 13 April.

Kedua-dua tertuduh selepas itu dihantar ke Penjara Kajang.

Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh ketika menunggu di balai pelepasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu selepas dua suspek wanita terbabit menyapu bahan kimia yang dikenali sebagai agen saraf VX.

Thi Duong ditahan pada 15 Februari ketika cuba melarikan diri dengan menaiki penerbangan ke Vietnam manakala Siti Aisyah dicekup sehari kemudian.

Polis turut menahan suspek ketiga, Ri Jong-chol, seorang warga Korea Utara dan memburu lagi tiga suspek termasuk Setiusaha Kedua Kedutaan Korea Utara, Hyon kwang-song.

Terdahulu, Siti Aisyah dan Thi Houng tiba di Kompleks Mahkamah Sepang dalam keadaan dikawal ketat dengan menaiki konvoi pacuan empat roda secara berasingan oleh pasukan polis yang menggunakan penutup muka serta diiringi polis trafik dan kereta peronda polis.

Konvoi pertama lapan pacuan empat roda yang membawa suspek pertama tiba di kompleks mahkamah kira-kira 9.34 pagi manakala konvoi enam pacuan empat roda membawa suspek kedua tiba enam minit kemudian.

Tidak dapat dipastikan sama ada Siti Aisyah atau Thi Huong tiba dulu di mahkamah tersebut.

Kebanyakan media menghadapi kesukaran untuk mengambil gambar dua suspek berkenaan kerana mereka dibawa ke bahagian belakang mahkamah yang tidak dapat diakses semua media.

Kawalan di sekitar kompleks mahkamah juga diperketatkan dengan kehadiran ramai anggota polis.

Polis trafik juga mengawal lalu lintas di laluan di hadapan kompleks mahkamah.

Menurut agensi berita Bernama, pihak media yang dibenarkan mengikuti prosiding pendakwaan dalam mahkamah adalah terhad manakala beratus lagi pengamal media berkumpul di luar.

Apabila kelibat seorang peguam tiba di kompleks mahkamah, beliau dikerumuni para wartawan tempatan dan antarabangsa yang sedia menunggu di luar dan mahu mengetahui suspek mana yang beliau wakili.

Soon Seng dari firma guaman Tetuan Gooi & Azura berkata, beliau mengetuai barisan peguam bagi Siti Aisyah dan dilantik oleh pihak kedutaan Indonesia.

Pasukan beliau akan terdiri daripada lima hingga enam orang peguam.

Sumber: mStar