Syarikat Balak Lakukan Pelbagai Kesalahan, Membalak Di Zon Penampan Di Sik


ALOR SETAR – Syarikat pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik yang diarah menghentikan operasi pembalakan baru-baru ini telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk membalak di zon penampan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Mohd Rahim Ramli, berkata tindakan itu diambil hasil operasi khas jabatan bermula 27 Feb lalu.

Katanya, dalam operasi itu JPNK mengesan tempat simpanan sementara balak dalam hutan tanpa kebenaran serta penebangan pokok di zon penampan.

Beliau berkata aktiviti ini jika diteruskan boleh menyebabkan hakisan tanah serta mengganggu ekosistem hutan berkenaan yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Kampung Landai, Gulau di daerah tersebut.

Operasi itu juga mengesan penebangan pokok berkualiti yang majoritinya jenis meranti tanpa tag nombor, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

“JPNK terpaksa menyita 2,500 batang balak jenis itu termasuk tiga jentera untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Syarikat itu mengambil kesempatan di atas lesen yang kita keluarkan dengan membalak 80 peratus balak jenis meranti dan selebihya hanya keruing.

“Pembalakan itu dikesan tiada nombor tag termasuk nombor di batang balak tidak sama dengan pokok yang telah ditanda,” kata Mohd Rahim.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung jumlah kerugian serta keluasan pembalakan yang ditebang di kawasan larangan sejak dua minggu lalu,” katanya. – BERNAMA