PETALING JAYA - Semua 11 rakyat Malaysia di Pyongyang bersiap sedia menghadapi sebarang situasi susulan keputusan kerajaan negara itu melarang mereka meninggalkan Korea Utara berkuatkuasa serta merta.
Memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Nor yang juga penasihat di Kedutaan Malaysia di Korea Utara, beliau berkata, mereka menjalankan tugas seperti biasa dan menunggu arahan Wisma Putra dari semasa ke semasa.
"Pada saya, keadaan memang terkawal. Sekarang tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.
"Bergantung kepada arahan, kalau kita disuruh kemas, kita kemas. Jadi, buat masa ini kita masih menunggu. Bila perkara ini berlaku, sudah tentu kita sudah siap sedia tetapi itu secara personal lah," katanya.
Pada Selasa, Korea Utara mengeluarkan arahan melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.
Menerusi perbualan telefon itu, Mohd Nor memberitahu, terdapat kakitangan yang menghubungi ahli keluarga di Malaysia bagi memaklumkan perkembangan mereka di Korea Utara.
Pada masa sama, beliau meminta semua pihak supaya mengikut arahan dan mendapatkan kenyataan daripada Wisma Putra dari semasa ke semasa bagi mengelak sebarang kekeliruan atau dakwaan membabitkan rakyat Malaysia di Korea Utara.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia di Korea Utara yang enggan dikenali berkata, dia bersama suami dan anaknya dalam keadaan selamat bersama rakyat Malaysia yang lain.
"Kakitangan di sini bekerja seperti biasa. Setakat ini, tidak ada apa-apa yang menakutkan, semuanya berjalan seperti biasa, seperti hari-hari sebelum ini.
"Alhamdulillah, semua okay," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, seramai 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Korea Utara dalam keadaan selamat.
Sumber: mStar