Tak Putus Asa, Alyah Bangkit Lebih "Garang"


KEGAGALAN single Engkau Milikku yang diterbitkan pada tahun lalu, bukan penghalang buat penyanyi Datin Alyah Abu Hasan untuk terus bangkit dengan lebih berani lagi.

Menurut Harian Metro, Alyah memberitahu bahawa dia memulakan strategi baharu dan akan melancarkan tiga lagu baharu dalam masa terdekat.

Lagu pertamanya berjudul Menunggu Bayangmu iaitu lagu tema drama Lara Cinta Ameena. Manakala single kedua pula berduet bersama Farawahida berjudul Mengapa Harus Aku dan ketiga, Jutaan Purnama.

Tambah penyanyi berusia 35 tahun ini, kegagalan lalu menjadi pengajaran buatnya dan kali ini dia akan berusaha berhabis-habisan untuk menempatkan ketiga-tiga single baharu ini sebaris dengan lagu popularnya Kisah Hati.

Ini kerana lagu tersebut pernah memenangi persembahan terbaik dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-26.

“Saya memang nak ‘all out’ dengan tiga lagu terus. Saya belajar daripada kesilapan tahun lalu apabila berhabis untuk satu lagu saja tapi hasilnya lambat dan tidak berjaya.

“Saya berharap antara tiga lagu ini biar ada sekurang-kurangnya satu yang boleh pergi jauh. Namun kalau semuanya berjaya saya sangat bersyukur!” katanya.

Single Engkau Milikku menelan belanja sebanyak RM300 ribu dan penggambaran muzik videonya dilakukan di Ladakh, India. –Kedahnews.com