"Tak Ubah Seperti "Lim Kit Siang and Son Sdn. Bhd.."


ALOR SETAR – Corak politik "kuku besi" yang diamalkan di dalam DAP yang dikuasai pimpinan anak beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng disifatkan sebagai punca seramai 182 ahli parti itu bertindak keluar dari parti berkenaan.

Menyifatkan DAP bagai "Lim Kit Siang and Son Sdn Bhd", kedua beranak tersebut memperkukuh cengkaman mereka di dalam parti itu selain menindas anggota akar umbi DAP yang tidak sebulu dengan kepimpinan mereka, kata Presiden MCA, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Pemimpin parti lain sudah lama bertukar ganti, malah MCA sudah 10 kali tukar pemimpin, tapi dia (Lim Kit Siang) sudah berpuluh tahun masih berada di sana dan pastikan anaknya (Lim Guan Eng) mendapat kuasa. Ia tak ubah seperti 'Lim Kit Siang and Son Sdn. Bhd'.

"Kita sudah jangkakan perkara ini, memang rakyat melihat pemimpin DAP tiada hala tuju dan hanya mahu menjaga kepentingan kuasa masing-masing," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Majlis Keselamatan Jalan Raya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Liow juga yakin akan lebih ramai anggota parti pembangkang itu akan membuat keputusan keluar parti susulan dari tindakan pemimpin DAP, khususnya Kit Siang yang dikatakan gemar menindas anggotanya dan tidak mendengar suara akar umbi.

Media semalam turut melaporkan tindakan 182 anggota DAP keluar parti di Melaka dan menyifatkan tingkah laku kepimpinan DAP sudah bertentangan dengan perjuangan asal parti berkenaan menjadi punca ketidakpuasan hati mereka.

Pada 12 Februari lalu, ADUN Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jak Wong; ADUN Kesidang, Chin Choon Seong dan Anggota Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him mengumumkan keluar DAP. – BERNAMA