Tan Cheng Hoe Dedah Punca Kejayaan Kedah Di Perak


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mendedahkan punca kemenangan pasukan Hijau Kuning ke atas pasukan Perak di tempat lawan baru-baru ini adalah disebabkan oleh sikap para pemain skuad Kedah itu sendiri.

Jelas beliau, sikap tenang semua pemain di atas padang ketika mengharungi perlawanan tersebut telah menyebabkan Helang Merah berjaya mengawal tempo permainan selain jiwa tidak mengenal erti mengalah dan terus berjuang hingga ke akhir perlawanan.

"Tahniah kepada semua pemain kerana mempamerkan aksi konsisten walaupun pada awalnya sudah faham bahawa bukan mudah untuk menang di Stadium Perak apabila mereka mendapat sokongan padu puluhan ribu penyokong setia di sini.

"Namun pemain tetap tenang mengawal tempo dan antara sebab kami berjaya mengatasi Perak di sini adalah sikap tidak mahu mengalah dan berjuang sehingga ke wisel penamat," katanya sejurus pelawanan tamat malam itu.

Ekoran kemenangan Kedah tersebut, ia telah melebarkan rekod tanpa kalah pasukan kesayangan anak-anak Darul Aman itu sekaligus menempatkan diri dalam salah satu slot lapan pasukan terbaik dalam memburu kejuaraan Piala FA musim ini.

Belum tewas dalam saingan Liga Super 2017 setakat ini selepas lapan perlawanan dan juga pada kejohanan Piala FA 2017 meletakkan pendahulu Liga Super itu antara pasukan pilihan selain penyandang juara, Johor Darul Takzim (JDT).

Meskipun ramai peminat bola sepak tempatan yang berpandangan bahawa skuad Kedah mampu menjadi antara pasukan pilihan musim ini, namun Cheng Hoe dan anak-anak buahnya tetap bersikap rendah diri serta tidak mendabik dada atas kejayaan yang dilakar.

Cheng Hoe yang juga merupakan individu yang bertanggungjawab membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kedah pada musim lalu turut memberikan kredit kepada para pemain beliau dan mengharapkan mereka terus konsisten dengan prestasi masing-masing.

Berdasarkan undian yang dijalankan semalam, pasukan Hijau Kuning diundi bertemu satu lagi pasukan dari Perak iaitu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada pertemuan suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac ataupun 1 April nanti. - Kedahnews.com