Tan Cheng Hoe Harap Kedah Bangkit, Pelajari Sesuatu Semalam


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mengharapkan setiap pemain pasukan Helang Merah dapat mempelajari sesuatu hasil dari perlawanan menentang skuad Selangor semalam yang berakhir dengan keputusan seri, 1 - 1.

Sebaliknya kata beliau, skuad kebanggaan Hijau Kuning itu seharusnya bangkit memperkemaskan permainan bagi menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya.

"Saya harap pemain dapat belajar sesuatu dan perlawanan seterusnya kita akan bangkit semula," katanya kepada media sejurus selepas perlawanan tersebut berakhir di Stadium Selayang, semalam.

Mengulas mengenai kekasaran yang dilakukan Akram Mahinan pada minit-minit akhir perlawanan itu, Cheng Hoe menjelaskan bahawa kesalahan tidak sewajarnya diletakkan di bahu pemain itu 100 peratus.

"Kita tidak boleh salahkan Akram kerana dia mahu menghentikan gerakan pemain lawan (daripada menjaringkan gol).

"Kita kena terima dan perlu belajar dari kesilapan pada setiap perlawanan," ujar beliau.

Selain itu, Cheng Hoe turut memuji kekentalan barisan pertahanan Selangor yang berjaya mengekang banyak gerakan berbahaya pasukan kendaliannya yang menggalas harapan seluruh rakyat Kedah bagi membawa pulang tiga mata penuh.

"Saya rasa semangat pemain Selangor untuk bangkit memang berkualiti.

"Dan bukan mudah untuk menembusi barisan pertahanan Selangor yang begitu baik," katanya yang menerima keputusan seri itu dengan baik.

Cheng Hoe berkata, beberapa hantaran akhir pemainnya dilihat agak kurang berkesan pada perlawanan tersebut serta terpaksa berdepan ancaman serangan balas Selangor yang dianggap berbahaya.

Ekoran keputusan seri tersebut, Helang Merah terpaksa berputih mata buat sementara waktu dan membiarkan pasukan Pahang merampas kembali  takhta Liga Super.

Pada perlawanan semalam, Kedah yang turun tanpa tonggak utamanya, Baddrol Bakhtiar, tidak mengambil masa terlalu lama untuk mengatur serangan ke arah kubu pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Selangor yang bermain dengan strategi bertahan di laman sendiri berjaya menyekat barisan serangan skuad Hijau Kuning yang merancang gerakan bertali arus.

Walaupun pasukan Kedah berjaya menguasai permainan secara keseluruhan, namun kegagalan penyerangnya mendapat umpanan tepat dari bahagian jentera tengahnya memaksa babak pertama tamat tanpa sebarang jaringan gol.

Sementara itu pada separuh masa kedua, Selangor mula mengubah rentak permainannya dengan permainan menyerang dan memaksa Kedah terpaksa berdepan dengan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.

Pada minit ke-80, Kedah mula mendahului pasukan tuan rumah apabila penyerang import, Sandro Da Silva memecah kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama perlawanan melalui sepakan percuma, menjadikan kedudukan memihak kepada pasukan pelawat, 0 - 1.

Ketika permainan seakan-akan bakal berakhir dengan kemenangan di pihak skuad Kedah, pasukan Selangor tiba-tiba berjaya memperolehi sepakan penalti apabila Akram Mahinan menjatuhkan penyerang The Red Giants, Mohd Syami Shafar.

Meskipun sepakan kencang dari Juliano Mineiri berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal, namun malang apabila Victor Stelian menerpa melakukan sepakan susulan sekaligus berjaya mengikat kedudukan dan menghampakan pasukan Helang Merah untuk membawa tiga mata penuh ke bumi Jelapang Padi.

Cheng Hoe walau bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun sekadar mengutip satu mata.

"Kita bermain dengan baik dan dapat menguasai perlawanan dengan baik sehingga dapat menjaringkan gol menerusi Sandro.

"Tetapi di saat-saat terakhir, sedikit kelekaan di bahagian pertahanan menyebabkan Selangor mendapat penalti," kata beliau. -Kedahnews.com