ALOR SETAR - Ketua Jurulatih skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe tetap dengan pendirian enggan memberi sebarang ulasan mengenai 'khabar angin' yang mengatakan kononnya dia bakal menjadi pembantu jurulatih skuad Harimau Malaysia.
Menurut Cheng Hoe, dirinya tiada sebarang komen atau berita yang ingin dikongsi buat sementara waktu ini, malah hanya ingin memberi tumpuan lebih khususnya kepada skuad Helang Merah sahaja.
"Saya tidak mahu komen apa-apa setakat ini termasuk tawaran menjadi penolong jurulatih skuad negara.
"Apa yang penting sekarang adalah fokus kepada skuad Kedah," jelasnya ringkas dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, tular desas-desus yang mengatakan Cheng Hoe bakal digandingkan dengan Mario Gomez yang dilantik menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan oleh Presiden baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sekiranya benar khabar angin tersebut, ia bakal menyaksikan jurulatih berusia 49 tahun itu kembali bersama skuad kebangsaan selepas pernah menjadi pembantu Datuk K.Rajagobal pada tahun 2010.
Untuk rekod, sepanjang menguruskan skuad Kedah, Cheng Hoe telah merakamkan kejayaan luar biasa apabila menjuarai Liga Perdana 2015 sekaligus kembali beraksi dalam Liga Super musim lalu dengan menamatkan di kedudukan ketiga keseluruhannya.
Malah musim lalu juga skuad Kedah berjaya menjulang Piala Malaysia dan terbaharu dengan menjuarai Piala Sumbangsih (Januari).
Sementara itu, timbul pelbagai reaksi di kalangan peminat setia pasuka Hijau Kuning mengenai gosip yang melanda Cheng Hoe di mana rata-ratanya enggan melepaskan Ketua Jurulatih yang mengharumkan imej Kedah di arena bola sepak negara itu.
Mereka turut menegaskan untuk tidak mahu sekali lagi hilang seorang jurulatih yang dilihat berkaliber seperti Cheng Hoe, sebagaimana yang pernah berlaku terhadap bekas Ketua Jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah, sebelum ini.
Sementara itu, terdapat juga sebahagian peminat yang berpandangan lebih wajar untuk memberi kebebasan kepada Cheng Hoe sekiranya ditawarkan jawatan baru itu bagi meningkatkan lagi prestasi Harimau Malaysia selain membuka ruang kepada Jurulatih Kedah itu mencipta satu lagi keajaiban dalam arena bola sepak kebangsaan.
Namun begitu, ada juga yang mahu Cheng Hoe menerima tawaran FAM itu sekiranya khabar angin itu benar dan mengimpikan bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote, dari Argentina untuk kembali mengemudi Helang Merah. -Kedahnews.com