Tan Sri Jins Samsudin Selamat Disemadikan Di Hulu Kelang


SENIMAN negara, Tan Sri Dr. Jins Samsudin, 81, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang kira-kira jam 10.30 pagi Khamis.

Dianggarkan lebih 1,000 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan kenalan artis membanjiri kawasan masjid dari 9 pagi untuk menantikan ketibaan jenazah.

Antara rakan artis yang turut menghadiri upacara pengebumian itu ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Fauzi Ayob; Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said, Datuk DJ Dave, Datuk Yusof Haslam, Zul Ariffin, A. Galak dan Datuk M. Nasir.

Jenazah Allahyarham dimandikan di kediamannya di Kampung Pasir, Hulu Kelang sebelum disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan dan dikebumikan.

Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 5.45 petang Rabu akibat tercekik kuih ketika minum petang bersama isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah.

Sumber: AstroGempak