Tanpa Disunting, Beauty And The Beast Bakal Ditayang 30 Mac


PENANTIAN peminat filem di Malaysia akhirnya terjawab apabila filem Beauty and the Beast sah bakal ditayangkan di negara ini bermula 30 Mac, tanpa sebarang pemotongan babak.

Ini sekali gus menamatkan segala kontroversi tayangan filem ini yang sebelum ini tercetus gara-gara terdapat babak gay.

Memetik myMetro, Disney dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya memaklumkan, filem itu telah diluluskan dengan pengkelasan PG13.

Seperti mengesahkan perkhabaran gembira itu, Golden Screen Cinemas (GSC) turut memuat naik di laman Twitter berhubung tarikh tayangan baharu filem berkenaan di negara ini.

Terdahulu, Lembaga Penapisan Filem (LPF) memaklumkan pihak mereka akan meluluskan tayangan filem muzikal fantasi itu dengan memotong beberapa babak yang dirasakan tidak sesuai ditonton di Malaysia.

Bagaimanapun, pihak Walt Disney Co pula bertegas enggan sebarang babak dipotong dan tidak kisah sekiranya filem itu tidak dapat ditayangkan di negara ini.

Di Rusia, kanak-kanak di bawah usia 16 tahun turut dilarang daripada menonton filem berkenaan.

Filem ini menampilkan lakonan bintang terkenal Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens (Beast) dan Luke Evans (Gaston).

Mengikut jadual, filem ini sepatutnya ditayangkan di Malaysia pada 16 Mac lalu. – Kedahnews.com