Tempoh Giliran Tunai Haji Disingkatkan Kepada 13 Tahun


KUALA LUMPUR – Tempoh menunggu menunaikan haji bagi rakyat Malaysia dikurangkan selama 13 tahun berikutan penambahan kuota jemaah haji seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tempoh menunggu kalangan 2.5 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) kini adalah 89 tahun berbanding 102 tahun sebelum ini.

“Pengurangan tempoh menunggu sehingga 13 tahun ini menggembirakan 2.5 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mendaftar untuk menunaikan haji,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengenai jaminan terhadap pendeposit untuk menunaikan haji berdasarkan prestasi kewangan TH, di Dewan Rakyat, hari ini.

Penambahan kuota sebanyak 30,200 berbanding 27,900 sebelum ini merupakan hasil perbincangan antara Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia dilakukan semasa lawatan negara Raja Arab Saudi itu ke Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata kadar hibah yang diagihkan TH bagi tahun kewangan 2016 secara umumnya adalah kompetitif, berbanding dengan simpanan di institusi perbankan Islam lain.

Beliau berkata prestasi kewangan TH kekal positif meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu pada tahun lalu dan tahun ini.

Katanya Indeks Shariah Bursa Malaysia telah menyusut sebanyak enam peratus pada tahun lalu, manakala purata dividen daripada syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia hanyalah sekitar tiga peratus.

“Pulangan daripada pasaran bon juga berada dalam trend menurun ekoran penurunan Kadar Polisi Semalaman oleh Bank Negara Malaysia.

“Prestasi sebegini bukan sahaja dihadapi oleh TH sahaja, malah rata-rata pengurus dana dan syarikat korporat terkesan daripada situasi tersebut,” katanya.

Jami berkata demikian ketika menjawab soalan asal Dr. Mohd Hatta Ramli (PAN-Kuala Krai) mengenai prestasi kewangan TH masa ini.

Pada 3 Februari lalu, TH mengumumkan kadar hibah bagi tahun kewangan 2016 sebanyak 4.25 peratus dan tambahan hibah haji sebanyak 1.50 peratus kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan fardu haji.

Jumlah keseluruhan hibah yang diagihkan adalah RM2.88 bilion kepada pendeposit. – BERNAMA