Teresa Kok Kata Melayu Masuk Ke Kawasannya Mesti Suka Padanya


ALOR SETAR - Ahli parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok menegaskan bahawa dirinya tidak khuatir dengan kehadiran lebih banyak majoriti orang Melayu ke kawasannya.

Menurutnya, beliau mampu memberi jaminan bahawa majoriti orang Melayu yang hadir tersebut pasti akan suka padanya dan walaupun ada diantara mereka yang suka bergaduh dengannya namun mereka sayang padanya.

“Saya tak bimbang Melayu masuk Seputeh, Melayu yang masuk Seputeh mesti suka pada saya.

“Sama macam back bencher (majlis ahli parlimen BN) di sini walapun pun suka gaduh dengan saya tapi saya tahu mereka sayang saya,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mendakwa Teresa menolak pembangunan di kawasannya kerana takut orang Melayu memonopoli kawasan tersebut.

Kenyataan Tengku Adnan tersebut dibuat ekoran daripada bantahan Teresa bersama penduduk Seputeh berhubung penjualan sebuah pusat komuniti untuk memberi laluan kepada projek perumahan mampu milik.

Menurut Teresa, beliau tidak membantah pembangunan akan tetapi tidak selesa dengan perancangan yang bakal mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan tersebut.

Oleh yang demikian, beliau menganggap kenyataan Tengku Adnan tersebut sebagai “rasis” selain mencadangkan suapaya pemimpin UMNO itu membuat pembangunan di Putrajaya.

“Di Putrajaya banyak tempat, dia (Tengku Adnan) boleh buat suka hati dia.

“Kenapa dia tak minta pemaju yang nak buat bangunan tinggi buat di Putrajaya, buat di tepi kediaman perdana menteri,” katanya. – Kedahnews.com