Teresa Kok Nafi Dirinya “Gila”


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menafikan dirinya “gila” selepas mengganggu sebuah majlis perkahwinan yang sedang berlangsung di dalam bangunan UMNO Seputeh di ibu negara pada Sabtu lalu.

“Kenapa semua orang tuduh saya ganggu majlis perkahwinan, saya bukan gila, saya tahu apa saya buat,” kata Teresa di Dewan Rakyat, semalam.

Teresa turut menyelar kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang mengkritik usahanya bagi membantah rancangan pembangunan Skim Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) di Taman Desa, Seputeh tersebut.

Menurut Ahli Parlimen DAP itu, dia bertindak demikian untuk membantah projek bertingkat-tingkat tersebut yang konon dikatakan bakal menyebabkan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk di kawasan terbabit.

Teresa menyalahkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tengku Adnan kerana telah memberi kelulusan kepada pihak pemaju untuk melaksanakan projek pembinaan bangunan di atas tanah yang dikatakan sepatutnya menjadi kawasan komuniti.

“Kami bantah projek itu kerana kawasan pembinaan pangsapuri sepatutnya menjadi pusat komuniti.

“Dia meluluskan apa saja projek yang datang kepadanya dan akibatnya, masalah kesesakan lalu lintas akan jadi lebih serius” kata Teresa. -Kedahnews.com