Terpaksa Merangkak Guna Titi Di Taman Seri Kulim

Kanak-kanak dan penduduk turut melalui titi ini untuk ke kedai.
KULIM - Gara-gara titi semakin rosak dan mereput, seorang warga emas terpaksa merangkak di laluan yang merupakan jalan alternatif penduduk Taman Seri Kulim, di sini sejak lebih 30 tahun lalu untuk ke klinik.

Penduduk, Barkath Rahman Syeikh Mohamad, 42, berkata, dia bersimpati dan sedih melihat apabila ada warga emas terpaksa merangkak di titi kayu yang sudah di bina di perkampungan itu sekitar 1982 secara bergotong-royong.

Menurutnya, kali terakhir ia dibaiki pada 10 tahun lalu kerana keadaannya sudah semakin rosak dan mereput.

"Titi ini jadi laluan utama penduduk yang cari jalan alternatif ke balai, klinik dan hantar anak ke sekolah.

"Sekarang dah makin uzur. Banyak papan reput menyebabkan ia berlubang. Sudah tentu ia bahaya terutama kepada kanak-kanak dan orang tua. Tapi jalan ini paling dekat untuk ke klinik dan kedai, jalan kaki pun boleh, lebih selamat kerana tak banyak kenderaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Armada Kulim-Bandar Baharu, Mohd Salman Sallehuddin berkata, permohonan sudah dibuat penduduk beberapa kali, namun tiada tindakan diambil malah ia semakin menggerunkan apabila sudah mula bergoyang ketika menggunakannya.

“Banyak kali sudah penduduk buat aduan dan kali terakhir pada 2015, tapi sampai sekarang tak ada apa-apa tindakan, tak kan nak tunggu runtuh atau ada orang jatuh dulu dalam sungai,” katanya.

Menurutnya, titi ini juga memerlukan lantai baharu dan pengadang untuk menjaga selamat pengguna selain lampu jalan.

“Kalau boleh percepatkanlah baik pulih lantai titi ini, sudah lama penduduk tunggu.

"Lengkapkan sekali dengan pengadang untuk faktor keselamatan, adakan lampu jalan di kepala titi lebih baik,” katanya.

Sumber: Sinar Harian