ALOR SETAR - Selepas tular mengenai Nasi lemak pondan beberapa hari lalu, kini masyarakat dikejutkan pula dengan berita yang tersebar di media sosial iaitu nasi lemak gay yang dibuka di kawasan Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, gerai tersebut adalah milik seorang lelaki yang dikenali sebagai Adi Yusuf itu, dikatakan dibuka berhadapan stesen minyak Petronas Taman Segar, di Cheras.
Gerai tersebut mendapat kritikan netizen kerana menggunakan kain rentang yang tertera perkataan #nasi lemak gay beserta lambang berwarna 'pelangi', yang mana cukup sinonim bagi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).
Malah, yang lebih menjelikkan ialah pemilik gerai berkenaan turut meletakkan beberapa gambar swafoto "gersang" beserta nombor telefon untuk WhatsApp dan nama akaun Facebooknya.
Rata-rata netizen mencemuh tindakan pemilik gerai Nasi Lemak Gay tersebut kerana seakan mempersenda hukum agama kerana secara terang-terangan mengaku dirinya mengamalkan gaya hidup songsang.
Setelah mendapat kritikan yang hebat, kelmarin telah viral sekeping foto menunjukkan, Adi Yusuf telah menukar kain rentang baru berwarna putih dengan meletakkan nama Nasi Lemak Jogja.
Mengulas isu tersebut, Pengerusi Bro Dakwah Isma, Ustaz Haji Omar Kassim turut menegur tindakan mempromosikan perniagaan menggunakan kecenderungan seksualiti sonsang secara terbuka tanpa rasa malu.
"Mereka seperti orang lain juga ada hak untuk mencari rezeki dan bekerja. Cuma kita tak setuju mereka cuba mempromosikan seksualiti mereka yang songsang dan seolah-olah memaksa masyarakat menerima mereka.
"Tapi bila “melabelkan” pondan pada nasi lemak itu seolah-olah meletakkan konotasi negatif dan songsang kepada nasi lemak yang pada asalnya adalah suci dan tidak bersalah.
"Lepas nasi lemak pondan, datang pula nasi lemak gay. Adakah nanti akan ada nasi lemak lesbian, nasi lemak pedofil pula? Halus sekali agenda LGBT ini cuba dinormalisasikan kepada masyarakat kita," katanya Ustaz Omar ketika dihubungi Ismaweb.
Ustaz Omar turut memberikan contoh sirah kaum Nabi Lut yang dipetik daripada Surah An-Naml ayat 56.
"Nabi Lut pernah mengingatkan kaumnya jangan mengikut hawa nafsu dengan melakukan homoseksual.
"Maka kaumnya tidak menjawab selain berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.
"Lut dan para pendakwah ditohmah sebagai orang yang kononnya “suci", ujarnya.
Menurut Ustaz Omar lagi, perbuatan mencegah adalah untuk mengingatkan mereka kepada azab Allah supaya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
"Kita mencegah ini bukan kerana berlagak suci. Tetapi kita mengingatkan mereka akan azab Allah yang bakal tiba jika gerakan ini sedikit demi sedikit diterima masyarakat.
"Nasihat saya, mereka yang sudah terlanjur ini, bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan," tegasnya. - Kedahnews.com