Tiada PAS, Pembangkang Lebih Kukuh Dengan PAN, PPBM - DAP


KUALA LUMPUR – Ketiadaan PAS membuka peluang kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang dengan kewujudan Parti Amanah Negara (PAN).

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ketiadaan PAS turut membuka peluang kepada kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Ketidakadanya parti PAS tidak melemahkan keazaman kita dan sebaliknya membuka peluang untuk mengukuhkan pakatan kita dengan munculnya PAN dan PPBM.

“PKR adalah rakan politik dan setiakawan kita sejak zaman reformasi. Kita akan sama-sama memainkan peranan untuk menerajui pakatan politik di Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

PAS disingkirkan daripada pakatan pembangkang oleh DAP dan PKR kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan kepentingan politik pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin PAS kemudian menubuhkan PAN bagi menggantikan PAS sebagai parti islam dalam pakatan pembangkang.

Pakatan pembangkang kemudian menandatangani perjanjian dengan PPBM yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas keluar daripada UMNO.

Mahathir bekerjasama dengan pakatan pembangkang kerana berdendam dengan UMNO apabila beberapa kepentingan perniagaan dan politiknya tidak dipenuhi UMNO dan kerajaan Barisan Nasional. –Kedahnews.com