KUALA LUMPUR - Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berstatus 'tidak lulus' tidak perlu hadir ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk sebarang pengesahan.
SSM dalam kenyataan pada Selasa berkata kegagalan permohonan bantuan itu tidak mempunyai sebarang signifikan terhadap pendaftaran SSM yang dilakukan.
"Di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, pemilik perniagaan tidak perlu menyerah simpan penyata kewangan di SSM. Oleh itu, tidak timbul sebarang isu bahawa penolakan BR1M berkaitan dengan pendaftaran perniagaan di SSM kerana tiada apa-apa maklumat disalurkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melainkan perkara itu dimaklumkan sendiri pemohon," menurut SSM.
Menurut kenyataan itu, pemohon boleh hadir ke mana-mana cawangan LHDN untuk permohonan rayuan sepanjang 3 April sehingga 31 Mei ini atau mendapatkan maklumat di laman portal ebr1m.hasil.gov.my bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
SSM juga percaya LHDN mempunyai pendekatan terbaik serta penjelasan tersendiri dalam mengagihkan BR1M.
"Pengagihan BR1M hanya melibatkan isi rumah berpendapatan RM4,000, RM3,000 dan RM2,000 ke bawah untuk kategori bujang. Sesiapa yang berpendapatan melebihi syarat ditetapkan , tidak layak menerima BR1M meskipun seseorang itu penjawat awam, pekerja swasta, pekerja sendiri termasuk memiliki sijil pendaftaran perniagaan SSM dan syarikat," kata kenyataan itu.
Sementara itu SSM turut menafikan dakwaan Skim 1Pelajar 1Pendaftaran Perniagaan (1P1P) mengakibatkan kegagalan permohonan BR1M.
1P1P yang diperkenalkan SSM pada 1 Januari lepas, membolehkan pelajar mendaftarkan perniagaan secara percuma untuk menggalakkan mereka terlibat dalam bidang perniagaan secara sah. - BERNAMA