KULIM - Sebanyak tiga mesin judi dan 15 set komputer yang bernilai hampir RM100,000 dirampas dalam operasi yang dilakukan Pejabat Daerah Kulim di kawasan bangunan dua tingkat dekat Bandar Putra.
Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai pusat judi yang berselindung sebalik kedai jualan kad pra-bayar.
“Selepas dapat aduan pagi kelmarin, kita terus ke kawasan bangunan dua tingkat itu, pada mulanya kita dapati ada kedai yang bahagian depannya dilekatkan pelekat isian semula telco.
“Namun apabila pemeriksaan dibuat di dalam kedai kita dapati terdapat tiga mesin simulator yang masih berfungsi dan terdapat 14 set komputer. Kesemuanya dirampas termasuk satu lagi set komputer di kaunter serta sejumlah wang tunai,” katanya, baru-baru ini.
Katanya, ketika pihaknya tiba di lokasi, masih terdapat pelanggan sedang asyik bermain judi bagaimanapun sudah melarikan diri.
“Kita menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut dan dua pekerja kedai ditahan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian