Tiga Rang Undang-Undang Dilulus Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah (Kaedah-Kaedah Permulaan Tindakan Sivil) 2016, RUU Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-undang Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017.

RUU Mahkamah (Kaedah-Kaedah Permulaan Tindakan Sivil) 2016 adalah bertujuan menyeragamkan kaedah-kaedah permulaan untuk tindakan sivil di mahkamah termasuk bagi kes yang masih berjalan dan belum selesai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata selepas RUU itu berkuat kuasa, semua tindakan sivil di mahkamah di bawah apa jua undang-undang bertulis adalah diseragamkan dengan menggunakan cara permulaan prosiding iaitu Saman Pemula atau Writ, melainkan jika Akta atau Ordinan memberi pengecualian.

Beliau berkata RUU itu diperlukan memandangkan perundangan sedia ada iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 hanyalah undang-undang kecil yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada pihak-pihak terlibat untuk menfailkan tindakan.

“Kita ada 20 lebih undang-undang spesifik yang tidak menyatakan kaedah-kaedah permulaan, jadi jika kita tidak adakan undang-undang induk ini, maka dia boleh mencabar antara satu sama lain,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Terdahulu, Razali berkata RUU berkenaan juga mengurangkan kesilapan pemfailan cara pemulaan prosiding pihak pemula dalam tindakan sivil di Mahkamah.

“Ini kerana kesilapan tersebut adalah satu kesilapan yang fatal dan boleh menyebabkan sesuatu kes itu dibuang oleh Mahkamah. Sekali gus, menyebabkan kerugian kepada pihak-pihak dalam tindakan tersebut memandangkan ia melibatkan kos dan masa pihak-pihak tersebut termasuklah mahkamah,” katanya.

RUU Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2017 pula bertujuan meminda Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).

Antara pindaan yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu ialah seseorang Hakim boleh meletakkan jawatannya pada apa-apa umur tanpa kehilangan hak pencennya dengan syarat hakim tersebut telah memegang jawatan untuk tempoh berterusan tidak kurang daripada lima tahun.

Sementara itu, Rang Undang-undang Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017 bertujuan mengelak penyelewengan dan manipulasi proses timbangan dan sukatan dalam perdagangan.

Antara ciri utama pindaan itu ialah meningkatkan penalti denda bagi kesalahan melibatkan penipuan dalam timbangan dan sukatan terhadap pengguna.

Sidang Dewan bersambung Isnin. – BERNAMA