"Tolonglah Tok Lebai Solatkan Dia..." - Nik Abduh


KUALA LUMPUR – “Hujungnya nanti keluarga mereka pun akan ziarah Tok Lebai juga. Siap bawa sekujur tubuh di kain putih. Tolonglah Tok Lebai solatkan dia” kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau dipercayai membuat kenyataan itu bagi menyindir Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana memperlekehkan golongan Tok Lebai baru-baru ini.

Nik Mohamad Abduh menjelaskan, mereka yang memperlekehkan golongan Tok Lebai berpandangan lebai hanya layak menyampaikan khutbah di masjid atau mengetahui solat Jumaat.

“Tok lebai tahu sempadan kuasanya adalah masjid. Di luar masjid, Tok Lebai tahu khutbahnya tak laku. Jika Tok Lebai berkeras mahu berkhutbah dan bersyarah juga di luar masjid, bersedialah untuk rebah tersungkur. Tak kena gaya, ditertawakan saja.

“Jadi ingatlah, jika Tok lebai nak selamat hidup aman sentosa, Tok Lebai berkhutbahlah di masjid seberaninya. Jangan tunjuk berani di luar masjid. Rebah tersungkur lagi ditertawakan nanti,” sindirnya lagi dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mohamed Azmin sebelum ini mencemuh pemimpin PAS sebagai Tok Lebai yang sedang memasang hasrat untuk berkuasa di Selangor.

Lebai adalah panggilan kepada petugas masjid atau surau atau mereka yang menguruskan kerja-kerja hal ehwal agama Islam di kampung-kampung.

Mohamed Azmin dipercayai mengeluarkan kenyataan itu gara-gara berang dengan pengumuman PAS mahu memenangi kerajaan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tok Lebai tersungkur kerana nak sangat kacau orang politik. Angan-angan nak ambil negeri orang. Nak tawan Putrajaya la. `Last-last’ tersembam jatuh. Ditertawa lagi,” sindir Nik Mohamad Abduh lagi.

Justeru, beliau menyindir “Jangan jadi Tok Lebai seperti beliau jika mahu hidup aman damai, jaga masjid, jaga madrasah dan tunggu sahaja orang mati”

“Jangan sedih, orang politik akan ziarah tok lebai dengan senyum manis nanti pada hari Jumaat. Nasib diuntung ada wang RM100 masuk poket Tok Lebai hadiah daripada orang politik yang baik-baik,” katanya sinis. –Kedahnews.com