Tragedi Serangan Di London: Penubuhan KSCIP Perlu Disegerakan


LANGKAWI – Penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) perlu disegerakan bagi mengekang berlakunya kejadian serangan seperti di London terhadap rantau ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata serangan di atas Jambatan Westminister berhampiran bangunan Parlimen Britain di London, semalam membuktikan ancaman keganasan boleh menular bukan sahaja di Eropah malah di rantau Asia dan ia tidak boleh diambil mudah oleh negara-negara di rantau ini.

“Malaysia telah memperoleh perkenan Raja Arab Saudi, Raja Salman (bin Abdulaziz Al Saud) yang menunjukkan keyakinan Kerajaan Arab Saudi terhadap Malaysia berkaitan ideologi naratif balas,” katanya dalam sidang media sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA’17) di sini, semalam.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya di United Kingdon untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian serangan itu.

Dalam insiden itu, seorang penyerang ditembak mati oleh anggota polis selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berkenaan merempuh orang ramai di laluan pejalan kaki di jambatan berkenaan.

Media melaporkan selepas kenderaan penyerang berhenti setelah melanggar pagar bangunan Parlimen, penyerang itu berlari ke arah pintu masuk yang digunakan oleh Ahli Parlimen sejauh kira-kira 20 meter.

Ketika cuba memasuki bangunan itu, penyerang dilaporkan menikam seorang anggota polis sebelum dua anggota polis berpakaian biasa menembaknya.

Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam serangan oleh pelaku yang tidak dikenali itu yang telah mengorbankan lima nyawa termasuk penyerang dan seorang anggota polis serta mencederakan 40 mangsa. – BERNAMA