Orang ramai cuba melihat keadaan mangsa yang terbaring di atas jalan akibat terlanggar lembu di Jalan Sungai Punti. |
KULIM - Hajat seorang tukang mesin rumput untuk menikmati makan tengahari di rumahnya dekat Taman Serdang tidak kesampaian apabila maut melanggar lembu.
Mangsa, Adzmi Ismail, 67 yang menunggang motosikal bersendirian ditemui terbaring atas jalan raya dekat Sungai Punti kira-kira jam 12 tengahari dipercayai akibat terlanggar lembu yang tiba-tiba melintas jalan, baru-baru ini.
Menurut anak bongsu mangsa, Salmizee Adzmi,30 berita kematian bapanya diketahuinya kira-kira jam 12.15 tengahari apabila mendapat panggilan daripada orang ramai.
Katanya, bapanya yang bekerja di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Kulim sering pulang ke rumah pada waktu rehat untuk makan tengahari.
"Tadi pun ayah dalam perjalanan pulang ke rumah nak makan tengahari lah tu, jarak dengan rumah pun hanya tiga kilometer sahaja.
"Saya jumpa ayah kali terakhir pada kelmarin (Ahad), kalau cuti sekolah semua adik beradik akan berkumpul di rumah ayah, tapi tak ada pula sebarang perubahan pada ayah,"katanya.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mansoor mengesahkan kejadian dan mangsa yang datang dari arah Kulim untuk ke Serdang itu maut di tempat kejadian akibat terlanggar lembu ketika melintas jalan.
"Mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian,"katanya.
Sumber: Sinar Harian