Umat Islam Di Kedah Perlu Muafakat, Usah Pecah-Belah Kerana Politik - MB


SUNGAI PETANI – Umat Islam di negeri Kedah disaran supaya bersatu padu dan tidak sesekali membiarkan perbezaan fahaman politik antara mereka memecah-belahkan hubungan sehingga membawa kepada permusuhan sesama sendiri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan bahawa kekuatan ukhuwah  dan perpaduan di kalangan umat Islam di negeri ini perlu dipertahankan supaya tidak dicemari unsur negatif yang cuba ditabur oleh pihak yang berkepentingan.

"Saya menyeru, janganlah kita berpecah belah disebabkan politik kerana politik adalah punca perpecahan di kalangan umat Islam dan merosakkan hubungan di kalangan ummah sehingga boleh menjadikan musuh sesama umat Islam. Umat Islam mestilah bersatu padu.

"Saya tidak mahu kita berpecah belah disebabkan politik, merosakkan hubungan di kalangan ummah sehingga bermusuhan sesama sendiri.

"Jika ada sebarang salah faham atau perselisihan hendaklah diselesaikan secara baik dan berhemah, tidak ikut melawan dengan kekerasan," katanya ketika berucap kepada lebih 700 hadirin di Majlis Multaqa Murabbi Ummah 2017 peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama di majlis berkenaan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Kerajaan Pusat turut menyerahkan cek peruntukan berjumlah hampir RM50 juta untuk diagihkan kepada Pegawai Masjid, Guru Takmir, Guru Sekolah Pendidikan Islam (SPI) dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini, sejurus dirasmikan majlis berkenaan.

Selain itu, Menteri Besar Kedah itu berkata, terdapat banyak punca yang mencetus pepecahan di kalangan umat Islam di negara ini dan antaranya adalah disebabkan oleh wujudnya berbagai-bagai parti politik dan kumpulan tertentu selain sifat taksub kepada pemimpin.

"Justeru, saya meletak peranan yang penting kepada tuan-tuan dan puan-puan serta semua pihak termasuk golongan politik untuk kembali ke landasan yang betul supaya kita bersatu padu dalam menghadapi musuh sebenar kita iaitu penindasan dan fitnah terhadap umat Islam.

"Percayalah, politik yang keterlaluan akan membawa bala kehancuran kepada umat Islam dan negara kita," katanya.

Ahmad Bashah juga menyeru kepada seluruh umat Islam di negeri ini supaya tidak terjebak dengan gejala negatif media sosial yang mencetus dan menyebar maklumat yang tidak tepat, palsu dan menyemai kebencian di hati masyarakat.

Ujar beliau, sebaliknya para murabbi di negeri ini harus memainkan peranan menyekat segala dakyah yang dimainkan segelintir pihak itu dan bertabayyun terhadap maklumat-maklumat yang diterima dari sumber media sosial yang tiada kreadibiliti. – Kedahnews.com