PELAKON popular, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 26, yang kini bergelar tunang kepada Dr. Izzar atau lebih dikenali sebagai Mr. I; mengakui sering bergaduh dengan tunangnya itu.
Bagaimanapun, menurut Ummi kepada laman Astro Gempak, pergaduhan berlaku bukanlah besar dan ia sekadar gaduh-gaduh manja sahaja dalam memilih destinasi negara yang ingin dikunjungi untuk bulan madu mereka nanti.
“Sejak akhir-akhir ini, kami sering pula bergaduh salah satunya berkenaan destinasi bulan madu. Tapi kami gaduh-gaduh manja saja dan tidak berpanjangan pun.
“Sebenarnya saya teringin mahu ke Istanbul, Turki. Dia pula mahu ke Switzerland.
“Saya tak mahu ke Switzerland kerana saya sudah ke sana dulu. Namun dia beri alasan mahu tunjukkan saya tempat yang sangat cantik dan menarik di sana nanti,” katanya kepada Astro Gempak.
Ummi dan Mr. I mendedahkan bahawa mereka akan berkahwin selepas Hari Raya Aidilfitri akan datang namun masih merahsiakan tarikh hari bersejarah mereka.
Pun begitu, jelas anak jati Kuala Lumpur itu kepada laman tersebut, segala persiapan untuk hari bahagianya nanti sedang dijalankan secara beransur-ansur.
“Dari segi persiapan banyak lagi yang belum siap. Tapi setakat ini lokasi majlis sudah ada.
“Mama saya uruskan dari segi hal seperti makanan dan cenderahati untuk para tetamu. Saya pula, uruskan dari segi pelamin dan baju,” jelasnya.
Menerusi penelitian di laman Instagram (IG) milik selebriti ini, Ummi ada berkongsi beberapa foto pakaian untuk pengapitnya atau ‘Dulang Girls’ yang bertemakan warna nude.
Malah selebriti ini juga ada berkongsi status di IGnya menyatakan dia tidak mahu menggayakan busana berwarna putih pada majlis nikahnya nanti.
Rasa tak sabar pula nak tahu warna busana dan tema yang akan digayakan oleh Ummi pada hari bahagianya nanti.
Jika dahulu semasa majlis bertunangnya, selebriti ini kelihatan anggun dalam persalinan warna royal blue rekaan Fizi Woo.
Namun untuk hari bahagia itu nanti pereka fesyen manakah yang akan menjadi pilihan hati Ummi untuk mereka busana pengantinnya. Sama-sama kita nantikan.
Diharapkan segala perancangan dan persiapan yang diatur berjalan dengan lancar buat Ummi dan pasangan. – Kedahnews.com