"Untie Siti Kassim Salah Faham.." – Dr. Fathul Bari


PEGAWAI Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari menegaskan pertemuan antara aktivis liberal, Siti Kasim dengan pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik bukan melibatkan perdebatan.

Menurut Fathul Bari, terpulang kepada Siti Kasim, yang digelar sebagai ‘auntie’ sama ada mahu menjadikan pertemuan tersebut sebagai sesi dialog, pertanyaan soalan ataupun perdebatan.

“Berulangkali saya sebutkan dalam kenyataan saya bahawa saya boleh aturkan pertemuan ‘auntie’ dgn Dr Zakir Naik. Pertemuan bukan perdebatan.

“Cuma setelah bertemu terpulanglah kepada auntie sama ada hendak dialog, nak tanya soalan atau hendak debat.

“Itu terpulang kepada ‘auntie’,” kata Fathul Bari menjawab status Siti Kasim di Facebook yang menolak untuk berdebat dengan Zakir.


Fathul Bari juga menolak isu ‘sub judice’ dalam cadangan pertemuan antara Siti Kasim dan Zakir.

“Sub judice punya isu, apa hubung kait saman auntie terhadap kerajaan dengan pertemuan Dr Zakir Naik serta implikasi undang-undang.

“Saya berpendapat tiada isu auntie. Bahkan jika pertemuan dilaksanakan dengan berhemah serta harmoni, insya-Allah kebaikannya lebih besar,” katanya.

Beliau juga membidas Siti Kasim kerana mendakwa cadangan pertemuan itu sebagai “membuang masa.”

“Adakah ketika Auntie membuat tuduhan tidak berasas kepada Dr Zakir Naik itu dikira memanfaatkan masa?

“Bagi saya itu tidak adil Auntie. Bahkan menyanggahi prinsip hak asasi yang Auntie perjuangkan. Auntie seolah-olah tak nak beri ruang untuk Dr Zakir mempertahankan diri beliau,” katanya.


Fathul Bari juga mengalurkan tiga sebab mengapa tawaran itu dikemukakan kepada Siti Kasim dan Asiah Jalil daripada 19 individu atau aktivis yang memfailkan tuntutan mahkamah menuntut antara lain, satu perintah penangkapan dan pengusiran Zakir.

“Sebab Auntie dan akak Asiah Jalil adalah Muslimah. Kalau ada lagi muslim atau muslimah dari kalangan 19 tu, sila datang sekali.

“Sebab Auntie dan akak Asiah popular lagi terkenal. Sebab saya difahamkan Auntie dan akak Asiah Jalil adalah lawyer yang hebat,” katanya.

Fathul Bari juga menolak dakwaan Siti Kasim kononnya beliau dan Asiah Jalil menjadi sasaran disebabkan mereka adalah wanita.

Anak bekas mufti Perlis itu juga membidas perkataan bodoh dan keldai yang digunakan Siti Kasim dalam status Facebook beliau.

“Lain kali kalau hendak menyatakan tidak setuju atau bantahan, auntie tidak perlulah keluarkan kata-kata yang tidak baik.

“Melabelkan orang sebagai bodoh, keldai, tidak sedar diri adalah tidak baik auntie. Silakan membantah tetapi jaga akhlak,” katanya.

Siti Kasim dan Asiah Jalil adalah antara 19 aktivis yang pada 1 Mac lalu memfailkan tuntutan mahkamah menuntutsatu perintah penangkapan dan pengusiran Zakir.

Mereka juga memohon satu perintah bagi ketua Polis Negara (IGP) untuk segera menangkap pendakwah itu.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Zakir adalah ancaman kepada keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara ini.

Dalam dokumen mahkamah itu, mereka mendakwa bahawa ajaran Zakir menggalakkan keganasan dan akan merosakkan perpaduan berbilang kaum dan keamanan di Malaysia.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia. -Kedahnews.com