UUM Jalin Kerjasama Dengan Pelancongan Langkawi


LANGKAWI – Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM) Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam menjalin kerjasama dengan dua pihak berkaitan dalam bidang pelancongan.

UUM dalam kenyataan berkata kerjasama dengan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) menerusi memorandum persefahaman (MoU) di sini bertujuan untuk menyediakan latihan kepada anggotanya yang terlibat dalam perniagaan pelancongan.

MoU dengan Adya Hotel pula meliputi kerjasama dalam perundingan, penyelidikan dan penempatan latihan industri, termasuk pengiktirafan atau pensijilan yang berkaitan dengan kakitangan PKB Hotel Management & Service di UUM.

Kerjasama ini bertujuan untuk melaksanakan prosedur operasi standard (S.O.P) hotel Islamik yang akan diterajui PKB Hotel Management & Services.

Pada majlis itu UUM diwakili Naib Canselornya Prof Dato Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, manakala LTA diwakili Timbalan Pengerusinya Faiz Fahmi Sazali dan Adya Hotel Langkawi pula diwakili Pengerusi Adya Hotel dan PKB Hotel Management & Services Nor Saidi Nanyan.

Majlis itu disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut merasmikan Pusat Penyelidikan Hospitaliti dan Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITH), iaitu pusat penyelidikan di bawah STHEM.

Pusat ini ditubuhkan bagi membentuk kerjasama antara agensi awam dan swasta dalam dan luar negara untuk melaksanakan penyelidikan berkualiti dan berimpak tinggi terutamanya dalam bidang hospitaliti dan pelancongan. – BERNAMA