UUM Sasar Jadi 200 Universiti Terbaik Dunia


SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan kedudukan 200 universiti terbaik di dunia menjelang 2020, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata sasaran itu ditetapkan di bawah Perancangan Strategik Fasa 11 yang bermula tahun lalu hingga 2020 dengan tumpuan pada pengukuhan kedudukan universiti di persada antarabangsa.

“Sasaran di bawah fasa itu ialah antara 200 terbaik dunia, 50 terbaik Asia, 10 terbaik Asia Tenggara dan lima terbaik di Malaysia,” katanya pada majlis Sambutan Hari Pengasasan ke-33 UUM di sini semalam.

Menurut Times Higher Education World University Rankings 2016-2017, UUM berada di kedudukan 801 daripada 980 universiti dari 79 negara.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata bagi tujuan itu, UUM mewujudkan pelbagai mekanisme termasuk penubuhan enam pusat kecemerlangan universiti, 21 pusat kecemerlangan pusat pengajian dan 32 unit penyelidikan.

Beliau juga berkata UUM menyasarkan 250 perjanjian persefahaman dengan universiti terkemuka dan industri menjelang 2020.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan fasa satu pelan strategik tersebut yang berlangsung dari 2011 hingga 2015 telah membuahkan hasil menerusi pelbagai kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antaranya tersenarai di tangga ke-45 daripada 407 universiti dalam UI Greenmetric World University Ranking 2016.

“UUM juga menerima Global Gold Medal pada Green World Award 2016 selain menjadi universiti pertama melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat dengan menyediakan kemudahan jalur lebar Wifi kepada komuniti di sekitar Sintok, Changlun dengan capaian 5 Gigabait per saat,” katanya. – BERNAMA