VIDEO: Islam Dari Sudut Pandang Aktivis Siti Kasim


AKTIVIS yang dilihat sebagai berpandangan liberal, Siti Kasim mendedahkan dalam sebuah rancangan temubual media berbahasa Cina beberapa tahun lalu bahawa beliau pernah berfikir tentang asal usul kewujudan tuhan.

Menurutnya, beliau mengatakan sekiranya tuhan itu menciptakan segala-galanya, tentulah tuhan itu pun diciptakan oleh sesuatu.

“Tidak ada seorang pun yang mampu memberi jawapan yang memuaskan kepada saya sehinggalah pada suatu hari, seorang lelaki memberitahu kepada saya tentang apa yang dia faham tentang tuhan,” katanya kepada wartawan Pocketimes.

Menurut Siti Kasim, lelaki tersebut mendakwa bahawa tuhan itu wujud melalui ‘tenaga’ yang dihasilkan dalam diri manusia, iaitu setiap daripadanya bergantung sama ada ia mempunya aura tenaga positif ataupun negatif.

“Kita ada aura tenaga positif yang baik, oleh itu saya percaya tuhan yang ‘baik’ akan dihasilkan.

“Akan tetapi sekiranya terdapat kenegatifan di kalangan kamu, lalu kamu akan menghasilkan tuhan yang ‘jahat’,” katanya.

Tambah peguam kontroversi itu lagi, sekiranya golongan bukan Islam ini tidak wujud di sini, tentulah negara ini akan jatuh ke tangan ektremis Islam.

“Secara peribadi sebagai seorang melayu saya ingin berkata, syukur kepada tuhan disebabkan ada golongan kafir di dalam negara ini! Syukur kepada Tuhan kerana orang-orang kafir, orang-orang bukan melayu.

“Sekiranya tidak ada bukan Melayu di negara ini, oh tuhan, tentulah golongan ekstremis ini akan mengambil alih negara ini,” katanya.


Siti Kasim juga merayu kepada golongan bukan Islam untuk menghasilkan lebih ramai zuriat agar dapat mengimbangi masyarakat Melayu Muslim di Malaysia.

“Tolonglah, kaum Cina, kaum India, tolonglah hasilkan lebih ramai anak. Bukan sekadar seorang atau dua orang. Tolonglah, saya benar-benar merayu kamu semua untuk menghasilkan lebih anak.

“Kita harus menjadikannya seimbang. Ada ramai Melayu seperti saya, cukup ramai, akan tetapi mereka tidak berani untuk tampil ke hadapan,” katanya. –Kedahnews.com