VIDEO: Kelibat Etnik Mante, Bukti Suku Kerdil Bukan Mitos Di Aceh


SEKUMPULAN peminat sukan motorcross terkejut besar apabila terserempak dengan susuk makhluk misteri yang menyerupai manusia kerdil di dalam sebuah hutan di pedalaman hutan Aceh, Indonesia, baru-baru ini.

Dalam kejadian 22 Mac lalu, makhluk kerdil tidak berpakaian itu dirakam sedang membawa kayu dan berlari dengan pantas sebaik sahaja cuba dikejar oleh kumpulan berkenaan.

Video kejadian yang menjadi heboh menerusi media sosial itu merakam bagaimana penunggang motosikal yang berada di posisi paling depan terjatuh akibat terkejut dengan kemunculan makhluk itu secara tiba-tiba.


Apabila dikejar, makhluk itu masih sempat lagi membelok dan memasuki kawasan semak-samun sebelum berjaya menghilangkan diri.

Menurut laporan portal Kumparan, makhluk kerdil seakan menyerupai watak toyol di dalam filem Lord of The Rings itu dipercayai merupakan suku Mante yang dipercayai semakin pupus di pedalaman Aceh.

Akhbar Harian Kompas pada 18 Desember 1987 pernah mengeluarkan satu artikel bertajuk “Ditemukan Lagi, Suku Mante di Daerah Pedalaman Aceh”.

Ia mengisahkan bagaimana seorang pawang hutan, Tgk M. Yusuf Thalib, 50, pernah bertemu dengan suku Mante yang kebanyakannya hidup di hutan pedalaman Lokop, daerah Aceh Timur.

Sementara itu, Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif yang dipetik Malaysia Gazatte berkata, ia merupakan imej asli orang kerdil yang benar-benar wujud dan mereka daripada suku Mante.

“Memang tempat tinggal mereka, sebab itu kalau nak diikutkan ramai orang tua-tua kata masuk hutan ini banyak pantang larangnya.

“Jadi kalau kumpulan itu bertemu, memang betullah tu,” katanya. –Kedahnews.com